Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

10,000 tak duduki SPM, pekerja Gig dipelawa sertai TVET

7 June 2024

KUALA LANGAT – Lebih 10,000 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini dipelawa menyertai mana-mana kursus program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) sebagai jaminan masa depan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran diberikan kepada mereka asalkan mempunyai kemahiran dalam 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Katanya, tawaran juga diberikan kepada 1.16 juta pekerja gig iaitu e-hailing dan p-hailing bagi meningkatkan produktiviti mereka.

“Saya fikir semua (yang tidak duduki SPM tersebut) mempunyai kemahiran minimum tersebut dan kita tawarkan mereka menerusi kursus TVET itu agar masa depan mereka lebih terjamin.

“Begitu juga kepada kepada 1.16 juta pekerja p-hailing dan e-hailing dan kita tawarkan upskilling dan reskilling apabila melepasi umur tertentu, produktiviti mereka menurun dan masuk kursus TVET untuk masa depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini.

Beliau turut menggalakkan 11,173 pelajar yang mendapat semua A memilih TVET kerana peluang memasuki kolej dan universiti TVET juga ada.

“Sekarang ada lima Universiti TVET termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Kita dapati ianya (pelajar cemerlang ini) akan memendekkan tempoh kursus memandangkan mereka cemerlang dalam akademik. Permohonan boleh dibuat secara atas talian menerusi UP_TVET yang mempunyai lebih 4,000 kursus dan kita berikan 10 pilihan dengan memastikan setiap permohonan ini akan dapat tempat,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid menegaskan setakat ini, terdapat 250,000 tempat dengan potensi lepasan SPM menyertai TVET adalah seramai 280,000 yang akan memohon.

“Kita berharap pengambilan pertama bulan Julai ini akan dapat menyerapkan 40 peratus memasuki TVET.

“Harap ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak mereka memasuki TVET yang menjanjikan peluang pekerjaan dan gaji lebih tinggi. Di Jepun umpamanya, TVET dikenali sebagai KOSEN yang merupakan pilihan utama semua lepasan sekolah Menengah dalam peringkat umur 15 tahun.

“Di negara ini, Kementerian Pendidikan turut memulakannya melalui kolej vokasional dan teknikal bagi lepasan tingkatan 3,” katanya, – KOSMO! ONLINE

[Gambar]: Ahmad Zahid melihat pertandingan robotik pada Hari TVET Negara di ILP Kuala Langat, hari ini. – Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara