Zahid pelawa lepasan SPM sertai TVET
7 June 2024
BANTING: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan cemerlang dipelawa menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, peluang menyertai TVET juga wajar dipertimbangkan golongan berkenaan, terutama lepasan SPM yang cemerlang dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ini kerana, katanya, peluang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET terbuka kepada mana-mana individu yang berminat, selain ia tidak hanya terhad kepada lepasan SPM dengan keputusan kurang cemerlang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, pembabitan lepasan SPM dengan keputusan cemerlang dalam bidang TVET antara lain dipercayai mampu memendekkan tempoh kursus yang perlu dijalani mereka.
"Kira-kira 11,173 (lepasan SPM) yang dapat semua A dan mereka boleh memilih TVET kerana peluang untuk memasuki kolej dan universiti TVET juga ada. Kini terdapat lima universiti TVET di negara, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
"Mereka boleh memilih untuk terus masuk (pengajian) di peringkat awalan atau melalui GiatMara, Institut Kemahiran MARA, kolej komuniti dan sebagainya. Peluang terbuka luas untuk mereka masuk ke universiti.
"Selain itu, mereka juga boleh bekerja sambil belajar, selain ada kursus ditawarkan yang bersesuaian dengan jadual kerja anjal," katanya pada sidang media selepas melakukan jelajah mesra ke Hari TVET Negara di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, Ahmad Zahid berharap pengambilan kumpulan pertama pelajar yang akan mula melanjutkan pengajian dalam bidang TVET pada Julai ini, akan terdiri daripada sekurang-kurangnya 40 peratus lepasan SPM 2023.
"Setakat ini, 250,000 tempat (disediakan) untuk menyertai TVET, manakala terdapat kira-kira 280,000 lepasan SPM berpotensi memohon (untuk melanjutkan pengajian dalam bidang TVET).
"Permohonan menyertai mana-mana institusi berkaitan TVET boleh dibuat menerusi UPU_TVET dengan lebih 4,000 kursus ditawarkan. Mereka boleh pilih mengikut kesesuaian masing-masing.
"Kursus ditawarkan ini sesuai dengan permintaan pelaburan asing, selain pengambilan bagi syarikat domestik dan antarabangsa yang memberi peluang pekerjaan dibuat berdasarkan tenaga mahir yang telah memasuki kursus TVET," katanya.
