TVET keutamaan pembangunan pendidikan di Sabah - Hajiji
23 June 2024
TUARAN: Kerajaan Sabah mengutamakan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, ini kerana TVET bakal membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai anak Sabah menguasai teknologi seterusnya melahirkan rakyat yang berilmu dan berpengetahuan bagi bersama membangunkan negeri itu.
"Anak-anak kita perlu diberi kemahiran dalam bidang teknologi agar mendapat peluang yang sama seperti anak-anak lain di negara ini. Maka kita berusaha memperluaskan TVET ini ke seluruh negeri.
"Ia juga bagi memastikan rakyat Sabah terus mendapat pendidikan yang terbaik dan sempurna. Ini akan membantu kita membangunkan negeri," katanya berucap merasmikan bangunan serba guna Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chen Sin, di sini, pada Sabtu.
Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM2 juta bagi pembinaan bangunan empat tingkat itu yang melibatkan kos RM4.2 juta dan siap pada Ogos tahun lepas
Hajiji berkata, pembangunan pendidikan juga selari dengan satu daripada teras dalam Pelan Pembangunan Haja Tuju Sabah iaitu modal insan dan kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan negeri akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dan akses pendidikan kondusif dapat dilaksanakan melalui kerjasama padu pelbagai pihak," katanya. - BERNAMA
