TVET akan terus diangkat sebagai agenda nasional - Ahmad Zahid
3 February 2025
KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diangkat sebagai agenda nasional, selaras hasrat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan baginda terhadap usaha kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing melalui pemerkasaan sistem pendidikan termasuk TVET.
Selain itu, Ahmad Zahid, berkata seperti yang dititahkan Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini, penting untuk semua memperkukuh keamanan dan menjaga kestabilan negara dengan memastikan Parlimen berfungsi sebagai platform semak dan imbang terhadap pentadbiran negara.
"Tuanku turut menyeru Ahli Parlimen menjadi benteng perpaduan dan bukannya ejen perpecahan rakyat.
"Patik sekalian menjunjung titah seperti yang disarankan," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini.
Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim bertitah, langkah kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan beliau mampu melahirkan generasi masa depan yang lebih berkualiti.
Baginda turut menitahkan Ahli Parlimen supaya menghentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan menjadi benteng perpaduan negara, bukannya ejen perpecahan rakyat.
Ahmad Zahid berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan – Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya akan terus mempergiat usaha mempromosi budaya dan nilai murni Malaysia di peringkat antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi dalam sektor pelancongan.
"Semoga Sultan Ibrahim sentiasa dikurniakan kesejahteraan, dilanjutkan usia dan dilimpahi rahmat serta keberkatan Allah SWT," katanya.
