MARA jalin kerjasama dengan syarikat automotif Jepun perkasa pembangunan belia dalam TVET
14 July 2025
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus komited memperkasakan pembangunan belia tempatan dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi kerjasama dengan syarikat automotif Jepun, Aichi Daihatsu (AD).
Menerusi pembukaan rasmi Pusat Latihan Aichi Daihatsu di Bandar Bukit Beruntung, Selangor hari ini menandakan satu lagi pencapaian bermakna dalam kerjasama antara MARA dan syarikat automotif itu dalam memperkukuh TVET bertaraf antarabangsa.
MARA dalam kenyataan hari ini, berkata kerjasama strategik pihaknya dan Aichi Daihatsu yang bermula sejak 2016 membuahkan pelbagai inisiatif termasuk program latihan industri pelajar MARA di Jepun.
Sehingga kini, seramai 12 pelajar MARA sudah menyertai latihan industri di Jepun menerusi kerjasama ini, dengan empat daripadanya masih aktif menjalani latihan di fasiliti Aichi Daihatsu.
Majlis hari ini turut menjadi simbolik kepada kesinambungan dan peluasan kerjasama kedua pihak melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 1 Ogos 2024.
MoU itu menyaksikan pelaksanaan Program Specified Skilled Worker (SSW) yang menyediakan laluan perantisan dan pensijilan kepada pelajar untuk bekerja di Jepun secara sah dan profesional.
Sebanyak 14 pelajar MARA dipilih bagi mengikuti program SSW selepas melalui proses temu duga yang berlangsung pada April lalu.
Pelajar berkenaan kini menjalani latihan industri awal di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah dan Nagoya Automobile Holdings (M) Sdn Bhd.
Seterusnya, mereka akan mengikuti kursus intensif Bahasa Jepun sebagai persediaan untuk dihantar menjalani latihan industri di Jepun bersama Aichi Daihatsu.
Menurut Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, Nuriman Yusop, kerjasama ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar TVET MARA menimba pengalaman antarabangsa, malah mengukuhkan nilai kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja global.
"Kami amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Aichi Daihatsu dan OISCA Jepun dalam membentuk masa depan pelajar TVET negara.
"MARA akan terus berusaha memperkasakan kerjasama strategik dengan industri antarabangsa demi memacu ekosistem TVET negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam ucapan mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA.
Gambar: Majlis pembukaan rasmi Pusat Latihan Aichi Daihatsu di Bandar Bukit Beruntung, Selangor hari ini menandakan satu lagi pencapaian bermakna dalam kerjasama antara MARA dan syarikat automotif itu dalam memperkukuh TVET bertaraf antarabangsa. - Foto ihsan MARA
