TVET UTeM jadi pilihan pelajar sambung pelajaran dalam negara
30 July 2025
KUALA LUMPUR – Sistem UPUOnline merekodkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) menerima 62,386 permohonan untuk memasuki universiti itu setakat Mei lalu.Ini sekali gus memberi gambaran jelas, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan dan tumpuan utama pada masa kini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, angka ini merupakan tertinggi dan menunjukkan peningkatan yang ketara bahawa bidang pengajian tinggi TVET kini terus menjadi fenomena dan pilihan utama dalam negara.
Jelasnya, angka berkenaan adalah jumlah permohonan daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 24,575 permohonan manakala lepasan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM), matrikulasi, diploma dan setaranya pula adalah sebanyak 37,812 permohonan.
Ujarnya, perbandingan peningkatan jelas jika dibandingkan dengan jumlah permohonan tahun lalu adalah sebanyak 54,915 yang mana lepasan SPM sebanyak 22,454 permohonan manakala lepasan SPM dan setaraf pula adalah sebanyak 32461 permohonan.
“Perbandingan peningkatan bagi jumlah permohonan bagi tahun 2025 berbanding dengan tahun 2024 adalah meningkat sebanyak 13.5% dan ia dipengaruhi oleh banyak faktor.
“Antaranya adalah seperti mana sedia maklum kini TVET telah menjadi satu fenomena baharu dalam negara dan para pelajar serta ibu bapa kian menyedari bahawa TVET adalah bidang tumpuan pilihan ramai.
“Ia adalah ekoran kepada permintaan tenaga kerja nasional yang tertumpu dalam bidang TVET bagi merancakkan proses pemacuan kemajuan dan kemodenan nasional dalam pelbagai sektor perindustrian,” katanya.
Katanya, antara faktor penarikan utama lain adalah faktor UTeM yang merupakan Universiti TVET Terbaik di Malaysia yang merupakan peneraju TVET Termaju yang terus mempamerkan kecemerlangan berterusan dalam dan luar negara.
“Ini terbukti dengan rantaian kejayaan seperti kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) UTeM 2024 mencapai 98.1% dan menjadi Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award).
“Pada masa yang sama UTeM dilengkapkan dengan Pelan Strategik 2023-2025 yang jelas dengan Teras 1 Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya dan agenda ini merupakan hala tuju yang jelas,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, daripada maklumbalas umum turut menyatakan bahawa UTeM adalah sentiasa mesra pelajar di samping sentiasa prihatin dan cakna kepada kebajikan pelajar. -MalaysiaGazette
Gambar: Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin
