Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Politeknik AI pertama negara bakal beroperasi 2027

3 August 2025

AYER KEROH: Sebuah politeknik baharu yang memfokuskan sepenuhnya kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dijangka mula beroperasi seawal 2027, sekali gus menjadi institusi pengajian tinggi pertama seumpamanya di negara ini.Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dibina di Lumut, Perak itu sebagai usaha memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail, berkata politeknik berkenaan kini dalam fasa perancangan awal merangkumi penyediaan kurikulum, perjawatan pensyarah serta pembangunan infrastruktur berkaitan.

Beliau berkata, beberapa program peringkat sijil dan diploma dalam bidang AI juga sedang dirangka yang akan mengambil masa kira-kira dua tahun sebelum institusi terbabit dapat beroperasi sepenuhnya."Antara program yang bakal ditawarkan termasuk sijil dan diploma AI merangkumi kursus seperti Pengenalan kepada AI, Pembelajaran Mesin (Machine Learning), Python untuk AI, Analisis Data, Sistem Pintar serta Keselamatan Siber.

"Program berkenaan turut memberi tumpuan kepada bidang strategik negara termasuk Internet Benda (IoT), Automasi Industri, Pengurusan Data Besar (Big Data) dan Rangkaian Digital, selaras keperluan Revolusi Industri 4.0," katanya.Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kolej Komuniti Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 569 graduan dari enam Kolej Komuniti seluruh Melaka menerima sijil dan diploma masing-masing membabitkan 18 program pengajian.

Mengulas lanjut, Mohd Zahari berkata, politeknik AI itu dijangka menjadi pusat rujukan utama kepada pelajar daripada pelbagai aliran, termasuk mekanikal, elektrik, elektronik, mekatronik dan sains komputer yang kini memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem AI negara.

Selain itu, katanya, kursus AI turut dirancang diperkenalkan secara silang bidang dalam program lain di semua politeknik dan kolej komuniti bermula tahun ini, sekali gus menjadikan AI sebagai komponen wajib dalam sistem pengajian TVET negara.

"Pembangunan politeknik berkenaan menjadi antara langkah penting ke arah melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor teknologi pintar, automotif, digital dan multimedia negara," katanya.

Gambar:Mohd Zahari menyampaikan sijil kepada graduan pada Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka di MITC hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara