Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Saluran tunggal permohonan program TVET

5 October 2023

PUTRAJAYA: Semua permohonan memasuki institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dibuat menerusi satu saluran tunggal bagi pengambilan bermula 30 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata permohonan itu boleh dibuat menerusi portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) di https://mohon.tvet.gov.my.

"Permohonan ini bagi memasuki 1,334 institusi TVET seluruh negara berdasarkan pilihan peserta, iaitu kursus yang mereka minati dan nama institusi TVET.

"Ini bagi mengelakkan daripada berlaku permohonan bertindih. (Menerusi portal ini,) kita (dapat) melihat dari segi minat mereka, selain bagaimana supaya dapat dielak ketidakpadanan kursus yang dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET di antara kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) yang dipengerusikannya hari ini dan dihadiri menteri daripada 12 kementerian berkaitan TVET, tokoh industri serta tokoh akademik.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat terbabit bersetuju supaya kursus yang ditawarkan bagi program TVET berasaskan teknologi tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui serta kursus membabitkan permintaan daripada pasaran guna tenaga, terutama pelabur asing di negara ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat supaya pelabur memperoleh pekerja mahir terlatih yang dapat diserap ke syarikat mereka.

"Kita menterjemahkan saranan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan sahaja dari segi tenaga boleh diperbaharui tetapi dalam pelan strategi perindustrian yang kita menjangka kedua-dua bidang ini akan mencipta 3.5 juta peluang pekerjaan baharu sehingga 2030.

"Untuk itu, saya mengarahkan sekretariat TVET negara menyediakan satu pelan hala tuju bagi menterjemah Dasar TVET Negara 1.0 sehingga 2030 dan selepas itu pelan sama melalui Dasar TVET 2.0 iaitu sehingga 2050," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kebolehpasaran graduan TVET ketika ini sudah meningkat lebih 92 peratus.

Justeru, beliau berharap TVET dijadikan pilihan utama bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dan mengurangkan tahap pengangguran negara.

"Kita sudah melakukan langkah proaktif termasuk mewujudkan dana pembiayaan ketika pembelajaran mereka di TVET, disekalikan elaun dan terdapat beberapa kursus yang digajikan dengan gaji lebih RM2,500 supaya terdapat pengekalan peserta dalam kursus berkenaan.

"Ini sedang dilakukan Kementerian Sumber Manusia dan kita akan selaraskan perkara ini di kementerian lain melalui agensi dan institusi TVET melalui kursus yang distrukturkan mengikut kehendak pasaran," katanya.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara