Permohonan kemasukan ke institusi TVET perlu dibuat melalui UP_TVET
20 June 2024
MIRI: Permohonan kemasukan ke semua institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara perlu dibuat melalui Unit PengambilanTVET (UP_TVET).
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia bermula sejak 30 Oktober tahun lalu dan keputusan menggunakan sistem berpusat ini dibuat bertujuan menyelaraskan permohonan bagi mengelakkan pertindihan dalam kalangan pemohon dan penyedia latihan TVET.
"Program 'outreach' Jelajah MADANI Jom Masuk TVET Zon Sarawak 2024 ini buat julung kalinya turut memperkenalkan portal UP_TVET sebagai satu sistem permohonan ke institusi TVET.
"Ia merupakan inisiatif berterusan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memberi pendedahan kepada komuniti dan masyarakat mengenai TVET," ujarnya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Jeffery Phang pada Majlis Perasmian Program Jelajah MADANI Jom Masuk TVET Zon Sarawak 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, hari ini.
Melalui pendidikan TVET ini katanya, negara dapat melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing di pasaran kerja.
Bagi mewujudkan satu ekosistem TVET yang inklusif ini, ia perlu ditunjangi dasar dan polisi mampan, kualiti penyedia latihan TVET dan sokongan berterusan pihak industri, ujarnya lanjut.
Kerajaan Sarawak tambahnya, akan memberi sokongan penuh kepada Dasar TVET Negara 2030 dengan melengkapi polisi yang sedia ada di peringkat negeri.
"Ini seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan aspek peningkatan sebanyak 20 peratus enrolmen pelajar TVET yang akan menjadi modal insan dalam pembangunan ekonomi negeri iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)," tegasnya.
Malah katanya, SCORE merupakan koridor ekonomi baharu yang meliputi wilayah tengah ke utara Sarawak dan bakal mewujudkan pertumbuhan ekonomi baharu di Tanjung Manis, Mukah, Tunoh, Baram, Limbang dan Lawas.
"Premier Sarawak dalam ucapannya semasa World Skills Malaysia Sarawak 2023 menegaskan bahawa satu juta peluang pekerjaan akan ditawarkan menjelang tahun 2030 dan memerlukan pekerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten yang dihasilkan oleh penyedia latihanTVET," katanya.
Tambahnya, TVET seharusnya menjadi keutamaan kepada belia dalam menyambung pengajian.
"TVET menjanjikan kebolehpasaran yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus dan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada industri.
"Di samping, itu TVET juga mampu menghasilkan penjana kerja di mana lepasan TVET yang telah menjadi usahawan dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti masyarakat," jelasnya.
Sementara itu, karnival itu berjaya menghimpunkan 40 pempamer yang terdiri daripada penyedia latihan TVET, industri, agensi awam dan swasta.
Pelbagai aktiviti disediakan termasuk pameran dari penyedia latihan TVET, program temu duga pencari kerja oleh 20 agensi dan syarikat terkemuka sekitar Miri dan seminar TVET.
Para pengunjung boleh mengikuti sesi cabaran kemahiran di sekitar bengkel bagi menguji kemahiran masing-masing.
"Saya difahamkan program 'outreach' ini merupakan lokasi ketiga daripada enam lokasi yang telah ditetapkan dan pertama kalinya diadakan di bandar raya Miri.
"Program ini akan dilaksanakan merentasi seluruh Malaysia dalam usaha memupuk kesedaran TVET kepada komuniti dan masyarakat Malaysia," ujarnya.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Teknologis (Ts) Zuleah Darsong, Pengarah ILP Miri Ts Mustal Makmud dan Pegawai Pendidikan Daerah Miri Mariam Monek.
