Perlis Bakal Jadi Hab Logistik Strategik Serantau: UniKL-ASTI Pacu Pendidikan TVET dan Infrastruktur Rentas Sempadan
8 July 2025
KANGAR, 8 Julai 2025 (Bernama) — Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) di Lembah Chuping, Padang Besar, dijangka menjadi pemacu utama pembangunan logistik dan pendidikan teknikal di utara tanah air, sekaligus meletakkan Perlis sebagai hab logistik strategik serantau di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kampus yang dirancang bersebelahan Perlis Inland Port (PIP) itu bakal menawarkan program diploma dan ijazah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi seperti teknologi penyelenggaraan kenderaan berat, pengurusan peralatan pengangkatan (lifting equipment) dan teknologi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
“Penubuhan UniKL-ASTI adalah langkah strategik bermakna, bukan hanya untuk Perlis tetapi juga bagi pembangunan logistik dan pendidikan negara. Pendekatan berorientasikan industri ini akan melahirkan tenaga mahir TVET yang bersedia memasuki pasaran kerja dan menyumbang terus kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berucap ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah UniKL-ASTI di Dewan Warisan di sini, yang disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kampus yang akan dibangunkan atas tanah seluas 60 ekar itu akan menjadi pemangkin kepada Agenda TVET Nasional dan memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada masyarakat luar bandar.
“Infrastruktur ini akan turut menyokong pembangunan projek mega Perlis Inland Port, yang dijangka menjadi nadi kepada pergerakan kargo rentas sempadan Malaysia–Thailand dengan potensi nilai dagangan mencecah USD30 bilion (RM132 bilion) menjelang 2027,” jelas beliau.
Projek UniKL-ASTI kini berada di fasa akhir reka bentuk, dengan pembinaan fizikal dijadualkan bermula selepas majlis pecah tanah dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Jun 2028.
Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina, dengan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sebagai agensi pelaksana dan MARA di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai agensi pelanggan.
“KKDW berharap projek ini dapat disiapkan mengikut masa, kos dan spesifikasi yang ditetapkan. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, ini akan memberi nilai tambah besar kepada pembangunan negeri Perlis,” katanya.
