Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

POLYCC diperkasa sebagai frontliner komunikasi pendidikan TVET

26 July 2025

SUBANG JAYA - Dalam landskap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang kian mencabar serta berdaya saing, peranan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) kini diiktiraf sebagai barisan hadapan komunikasi strategik dalam memperkukuh reputasi institusi dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Bagi memperkasakan peranan tersebut, Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat (UKK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengambil inisiatif melaksanakan Bengkel Pemantapan Peranan PRO POLYCC.

Menurut Penolong Pengarah Kanan (JPPKK), Ts. Zunaidah Razali, program yang berlangsung selama tiga hari di sini itu, menghimpunkan 74 peserta daripada Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia.

“Bengkel intensif ini memberi tumpuan kepada aspek komunikasi strategik, pengurusan media digital dan kemahiran penyampaian awam yang berkesan, selaras dengan keperluan semasa dalam pengurusan imej institusi pendidikan TVET negara.

“Para peserta diberi pelbagai pendedahan dan tugasan agar mereka lebih cakna bagi mempromosi politeknik dan kolej komuniti sebagai institut pengajian yang berdaya saing sama seperti institut-institut pengajian yang lain,” jelasnya.

Ketua Komunikasi Korporat, Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat (JPPKK), Abdul Hadi Mustaffa menekankan bahawa PRO perlu bersedia berhadapan dengan cabaran persepsi, membina keyakinan masyarakat dan menyuntik semangat organisasi melalui komunikasi yang proaktif dan berstrategi.

“Saya melihat PRO sebagai barisan hadapan komunikasi yang bukan sekadar menyambut kehadiran media, malah memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan serta menyampaikan naratif positif institusi kepada khalayak,” ujarnya ketika mempengerusikan sesi "Sync and Lead: Management Meets PRO" di bengkel tersebut.

Sesi berkenaan bertujuan menyelaras hala tuju komunikasi korporat dan memperkukuh peranan PRO di institusi masing-masing.

Turut diadakan sesi perkongsian amalan terbaik dalam komunikasi sektor awam oleh Diyana Hassim, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pada hari kedua, peserta dibahagikan kepada tiga kluster iaitu Kluster 1 (Komunikasi dan Penulisan Strategi) yang dikendalikan oleh Miza Eusni Mohamed, Kluster 2 (Pengurusan Media dan Platform Digital) dikendalikan oleh Rosli Mohd Nordin dan Kluster 3 (Penyampaian Awam dan Komunikasi Pintar) yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Mohd Sayed Mustar.

Melalui sesi teori dan praktikal, peserta diberi pendedahan secara langsung bagaimana situasi dan peranan sebenar pegawai komunikasi atau PRO institusi masing-masing.

“Saya teruja menyertai bengkel ini kerana saya tidak mempunyai banyak pendedahan melaksanakan kerja-kerja PRO, namun kini selepas menghadiri bengkel ini saya menjadi lebih bersemangat untuk mempromosi pelbagai aktiviti dan kejayaan kolej komuniti,” jelas Ts. Karminah Abdul Kadir yang merupakan Pegawai Pendidikan Tinggi, Kolej Komuniti Sandakan (Sabah).

Bagi Mohammad Shazli Sufi Che Unik (Pegawai Perhubungan Awam, Kolej Komuniti Kuantan) pula berkata, beliau mendapat pelbagai idea bernas untuk mewakili suara pelajar dan pengurusan kolej komuniti.

“Mungkin selama ini ada individu yang beranggapan pelajar kolej komuniti tidak berdaya saing, namun jika semua PRO kolej komuniti dan politeknik dapat mengetengahkan pelbagai kejayaan alumni di semua media pelantar media konvensional dan media sosial, pastinya ia dapat memperbaiki persepsi negatif itu,” tegasnya.

Bagi dua orang lagi peserta Bengkel Pemantapan Peranan PRO POLYCC berharap lebih banyak bengkel seumpama ini akan diadakan di masa akan datang. “Sebagai Orang Asli yang berkhidmat dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (Perak), saya yakin pelbagai program media yang lebih efisien mampu dilaksanakan agar komuniti Orang Asli diseluruh negara mendapat manfaat daripada kerja-kerja promosi dan media yang kami laksanakan,” ujar Edvina Bah Dong (PRO, Politeknik Sultan Azlan Shah).

“Pelajar kolej komuniti dan politeknik mempunyai kemahiran daya saing yang tinggi, pelbagai sektor industri memerlukan kemahiran mereka bagi mengisi pelbagai jawatan.

“Sebenarnya ramai pelajar atau alumni kolej komuniti dan politeknik yang berjaya menjadi usahawan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing cuma ia tidak diketengahkan melalui media dengan efisien. Selepas bengkel ini pastinya kami lebih cakna akan perkara tersebut,” jelas Nur Zaidatul Akmar Umar (Pegawai Pengambilan, Kolej Komuniti Tangga Batu, Melaka).

Gambar:Para peserta Bengkel Pemantapan Peranan PRO POLYCC bergambar beramai-ramai selepas program tiga hari tersebut tamat.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara