KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Kementerian Sumber Manusia (KSM) bertanggungjawab kepada pembangunan kemahiran, pekerjaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kesatuan sekerja, perhubungan perusahaaan, maklumat dan analisis pasaran buruh dan keselamatan sosial. Selaras dengan objektif kementerian dalam membangunkan dan melahirkan modal insan yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh negara, beberapa agensi dan Jabatan di bawah KSM berperanan melaksanakan latihan pra-pekerjaan dan kemahiran untuk memenuhi sektor perindustrian negara. Institusi latihan TVET pertama di bawah KSM ditubuhkan pada tahun 1964 iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur. Sehingga kini, sebanyak 33 buah institusi latihan TVET ditubuhkan untuk melaksanakan misi dan visi kementerian.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melaksanakan fungsi serta tanggungjawab dalam memperkasakan kehidupan dan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar menerusi perancangan di bawah KKDW dan agensi meliputi pembangunan dan pembaikan prasarana, ekonomi dan keusahawanan, pendidikan dan TVET serta pemerkasaan sistem penyampaian perkhidmatan di KKDW dan agensi. Pada tahun 1968, institusi pendidikan TVET pertama ditubuhkan iaitu Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka yang berperanan melahirkan modal insan yang seiring berasaskan industri serta teknousahawan yang berjaya sejajar dengan keperluan negara. Sehingga April 2023 sebanyak 280 buah institusi latihan TVET di bawah Kementerian ini melaksanakan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang selaras dengan teras strategik Kementerian dalam membangunkan modal insan luar bandar secara komprehensif.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diamanatkan untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan khususnya dalam pembangunan belia dan sukan. Penglibatan KBS dalam pembangunan modal insan melalui pelaksanaan latihan kemahiran kepada belia di 22 buah institusi latihan TVET di bawah kementerian ini. Institusi TVET pertama, Institut Kemahian Belia Negara (IKBN) Dusun Tua telah ditubuhkan pada tahun 1964 dengan melatih golongam belia menganggur mendapat kemahiran teknikal dan boleh bekerja dengan sektor swasta atau berniaga sendiri.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN PENDIDIKAN
Misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah untuk melestarikan sistem pendidikan berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara. Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) adalah satu laluan pendidikan berteraskan kemahiran yang disediakan bagi melahirkan sumber tenaga manusia untuk memenuhi keperluan tenaga kerja negara. TVET diperkasakan sejajar dengan arus perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 dan digital masa kini agar hasrat KPM untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan dan bersahsiah dapat dicapai serta mampu meningkatkan daya saing negara. KPM melalui Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) sentiasa komited dalam memastikan program TVET yang dilaksanakan di institusi pendidikan TVET KPM adalah berkualiti dan relevan dengan menawarkan program-program yang berteraskan keberhasilan dan kemenjadian murid. Institusi TVET KPM terdiri daripada 86 buah Kolej Vokasional yang menawarkan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan 9 buah Sekolah Menengah Teknik (SMT) menawarkan Mata Pelajaran Elektif Teknikal (MPET). Manakala sebanyak 495 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) menawarkan Program Mata Pelajaran Vokasional (MPV), 347 buah SMK menawarkan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan 12 buah SMK menawarkan Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA).
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN
Objektif utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah sebagai peneraju utama proses-proses transformasi dalam sektor pertanian secara terancang, bersepadu dan menyeluruh berteraskan penggemblengan seluruh pemikiran dan tenaga organisasi organisasi ke arah pencapaian matlamat Dasar Agromakanan Negara (DAN). Keperluan latihan untuk melahirkan modal insan dalam sektor pertanian adalah selari dengan usaha kementerian dalam meningkatkan pengeluaran makanan dan keterjaminan makanan seperti yang termaktub dalam DAN. Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) telah diwujudkan bagi melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi kehendak industri dan ekonomi di dalam negara. Program ini dilaksanakan di 16 buah Institut Latihan Pertanian di seluruh negara.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bertanggungjawab terhadap hala tuju dasar dan pembangunan industri Agrikomoditi negara merangkumi minyak sawit, getah, kayu, koko, lada dan kenaf yang menjadi antara pemacu ekonomi negara, menyumbang kepada pendapatan eksport, mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana pendapatan terutamanya kepada pekebun kecil. Bagi menyahut seruan Kerajaan dalam meningkatkan kemahiran pekerja, terutamanya penglibatan pekerja tempatan, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menubuhkan sebuah institusi latihan secara formal, iaitu Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) pada 4 November 2010. IMPAC berperanan sebagai institusi induk yang menerajui serta memantau kursus dan program latihan kemahiran pusat latihan agensi-agensi di bawah KPK. Agensi-agensi yang terlibat adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf & Tembakau Negara (LKTN). IMPAC selaku Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body, ILB) sektor perladangan dan komoditi akan terus memacu dalam memberi latihan kemahiran serta menggilap potensi modal insan bagi memastikan sektor agrikomoditi negara kekal berdaya saing dan mampan.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan penting dalam mewujudkan ekosistem pengajian tinggi yang terbaik di universiti awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan juga kolej komuniti. Semua institusi ini merupakan komponen utama ekosistem pendidikan dan latihan negara yang akan menjana para pemikir, ilmuwan, sarjana, tenaga kerja mahir dan separa mahir sesuai dengan peranan masing-masing. TVET Kementerian Pengajian Tinggi terdiri daripada 4 universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), 36 Politeknik dan 104 Kolej Komuniti. Tahap program TVET di KPT bermula di Kolej Komuniti yang menawarkan program peringkat sijil dan diploma. Politeknik pula menawarkan program pengajian di peringkat diploma dan sarjana muda manakala MTUN menawarkan program peringkat diploma dan ke atas sehingga ke peringkat doktor falsafah.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN KERJA RAYA
Kementerian Kerja Raya (KKR) berperanan sebagai peneraju dalam membangunkan industri pembinaan negara ke arah pemerkasaan pembangunan infrastruktur dan pengurusan aset menyeluruh serta peluasan pendigitalan industri pembinaan. Penglibatan KKR dalam latihan TVET adalah melalui penubuhan Akademi Binaan Malaysia (ABM) bermula pada tahun 1997 dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) pada tahun 2020. Matlamat utama penubuhan ABM dan CIDB Tech adalah untuk memenuhi keperluan bagi pembangunan dan peningkatan kompetensi kemahiran personel binaan mengikut bidang dan tahap kemahiran berdasarkan standard kompetensi. Terdapat lebih 100 bidang kemahiran yang ditawarkan di seluruh negara.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI & BUDAYA
Dasar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) adalah untuk memacu sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing dan lestari demi pembangunan sosio-ekonomi negara. Di antara objektif utama MOTAC dalam memperkasakan ekosistem industri pelancongan adalah menyediakan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif. Dua agensi utama yang terlibat dalam merealisasikan objektif ini adalah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Institut Kraf Negara (IKN) yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran yang bersesuaian.
Kursus Institusi TVET Laman Web AgensiKEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
KPWKM merupakan peneraju utama dalam pembangunan dan kesejahteraan wanita, keluarga dan masyarakat seiring dengan konsep Pembangunan Malaysia MADANI. Selaras dengan objektif kementerian dalam membangun masyarakat sejahtera secara inklusif dan saksama melalui inovasi sosial dan kebajikan produktif, KPWKM berperanan melaksanakan latihan dan kemahiran bagi memenuhi sektor perindustrian Negara.
Kursus Institusi TVET Laman Web Agensi