Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri angkat martabat TVET
23 November 2023
SHAH ALAM: Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri menjadi titik tolak usaha berterusan kerajaan untuk mengangkat martabat aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) ke satu tahap yang lebih tinggi.
Inisiatif itu merupakan acara tahunan di peringkat kebangsaan bagi memberi pengiktirafan kepada individu cemerlang dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Malah langkah berkenaan bertujuan mencungkil dan menggilap bakat-bakat besar yang akan mengarusperdanakan TVET dalam negara dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Maka dengan sebab itu, Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri selaku anugerah tertinggi diberikan kepada pemenang terbaik keseluruhan dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP).
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan wadah pengiktirafan kerajaan bagi mengiktiraf individu yang cemerlang dalam lapangan kemahiran atau TVET yang dianjurkan di dalam dan luar negara.
Selain itu katanya, ia juga merupakan antara platform tertinggi pengiktirafan kepada belia dan tenaga pengajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kemahiran masing-masing.
“Pertandingan kemahiran yang dianjurkan dapat melahirkan lebih ramai belia berkemahiran dan berdaya saing bagi membantu negara menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2025.
“Ia adalah simbol kejayaan yang telah dicapai oleh semua pihak. Namun ia bukanlah menjadi titik noktah kepada usaha berterusan untuk mengangkat martabat Pendidikan TVET ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Dalam pada itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut menganjurkan pertandingan JuniorSkills Malaysia (JSM) dan WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC).
JSM diperkenalkan bertujuan memilih dan mengiktiraf pelajar sekolah berumur 16 tahun dan ke bawah yang mempunyai potensi bagi memberi pendedahan mengenai TVET untuk memupuk minat generasi muda menceburi kerjaya berasaskan kemahiran.
Selain itu juga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersama JPK telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Pertandingan Kemahiran WSMUC 2023 yang merupakan penganjuran program kali kedua setelah dianjurkan kali pertama pada tahun 2021 secara dalam talian.
Pertandingan ini bertujuan memperkenalkan Future Skills iaitu bidang-bidang yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Sebanyak enam bidang kemahiran dipertandingkan dalam WSMUC kali ini iaitu Rail Vehicle Technology, Chemical Lab Technology, Cybersecurity, Mobile Application Development, Aircraft Maintenance dan Robot System Integration.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, pendedahan mengenai TVET pada peringkat lebih awal khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dapat memupuk minat generasi muda untuk menceburi kerjaya berasaskan kemahiran.
Justeru itu katanya, JPK dengan kerjasama Kementerian Pendidikan menganjurkan Pertandingan JuniorSkills Malaysia 2023 dan melibatkan tujuh bidang kemahiran dengan penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah rendah.
Dalam pada itu, Sivakumar menyarankan agar lebih banyak penglibatan lebih aktif industri- industri di Malaysia dalam aktiviti pertandingan kemahiran.
“Penglibatan aktif industri seperti ini dapat membantu meningkatkan lagi kompetensi dan kualiti tenaga kerja mahir yang akan turut menyumbang kepada pembangunan industri di Malaysia.
“Melalui pemerkasaan TVET, impian Perdana Menteri untuk mewujudkan negara yang mampan, rakyat yang sejahtera dan berdaya cipta pasti akan dapat dijayakan dengan lebih pantas,” katanya.
Dalam majlis sama, sebanyak empat individu menerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri membabitkan Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) bagi tahun 2022 dan 2023.
Empat penerima tersebut adalah pengajar Kolej Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Mohd. Nazeri Abdol; pelajar Kolej Vokasional Kajang, Hayatun Nufus Roshisam; pengajar Institut Kemahiran Mara Lumut, Mohd. Fairuz Hamdzah dan pelajar Giat Mara Kota Bahru, Muhammad Hakimi Abu Bakar.
Majlis sama juga bertujuan meraikan peserta negara yang berjaya dalam pertandingan peringkat antarabangsa iaitu WorldSkills ASEAN Singapore 2023 yang berlangsung pada 23 hingga 25 Julai lalu serta kejayaan peserta negara dalam 10th International Abilympics 2023 pada 23 hingga 25 Mac lalu di Perancis.
Selain itu, Anugerah Tokoh Mahir diperkenalkan dengan Ketua Selepas Jualan Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Datuk Shamsuddin Amran merangkul pengiktirafan tersebut.
Shamsuddin menerima penganugerahan itu kerana sumbangan dan pencapaian cemerlangnya dalam pembangunan bidang latihan kemahiran kerana melahirkan 100 mekanik setiap tahun sejak 15 tahun lalu.
Malah beliau berjaya melahirkan pekerja bidang automatif bermula peringkat sijil hingga diploma sekali gus membolehkan mereka meraih gaji lumayan dan peluang pekerjaan di luar negara. – UTUSAN
--------------------------
Gambar: ANWAR Ibrahim menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, Muhammad Hakimi Abu Bakar pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.