Pelbagai Peluang Pekerjaan Ditawarkan Di Karnival Pendidikan TVET Dan Kerjaya 2024
24 May 2024
PASIR SALAK – Pelbagai peluang pekerjaan kepada para graduan dan pencari kerja, seiring dengan usaha menghasilkan graduan holistik, berciri keusahawanan, dan seimbang dalam memenuhi aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) melalui kolaborasi dengan industri semasa Karnival Pendidikan TVET dan Kerjaya bertemakan “Career Bridge Industries & Alumni POLYCC 2024” di Kolej Komuniti Pasir Salak pada Khamis.
Sekurang-kurangnya lapan syarikat dari pelbagai sektor telah mengambil bahagian dalam temuduga kerjaya yang diadakan. Antara syarikat-syarikat yang terlibat adalah Marry Brown SDN BHD, CRRC Rolling Stock Center, Carsem (M) SDN BHD, Dinding Poultry Processing SDN BHD, Revotech Electrical SDN BHD, Healtlink Services SDN BHD, Safworks SDN BHD dan PNA Technologies SDN BHD.
Program anjuran Kolej Komuniti Negeri Perak (KKNP) dengan kerjasama PERKESO Negeri Perak ini merupakan sebahagian daripada strategi dan tindakan KKNP dalam meningkatkan kolaborasi dengan pihak industri.
Karnival ini turut menyaksikan pelbagai pengisian seperti perkongsian daripada alumni berjaya, wakil-wakil industri, serta pameran pendidikan yang menjadi tarikan utama sepanjang acara berlangsung.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Shamsuri Abdullah, yang juga merangkap Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Perak. Turut hadir sama adalah pengarah-pengarah Kolej Komuniti Negeri Perak dan wakil-wakil industri.
“Realitinya, dunia pekerjaan sentiasa mengalami perubahan dan kami di POLYCC sentiasa berusaha memastikan keperluan stakeholder dan pelanggan dipenuhi. Mengambil kira keperluan dan mentaliti generasi Z “Gen Z”, POLYCC sewajarnya memainkan peranan sebagai jambatan kepada Gen Z dan pihak industri”, ujar Dr, Shamsuri semasa berucap merasmikan program berkenaan.
“Generasi hari ini berdepan dengan cabaran baharu untuk membentuk keupayaan profesional mereka dan memperbaiki kebolehpasaran diri masing-masing, kerana semakin banyak syarikat mengutamakan kemahiran atau pengalaman kerja yang berkaitan berbanding kelayakan akademik”.
