Peruntukan tambahan RM200 juta perkasa TVET
8 June 2024
[Lihat Video]
BANTING: Kerajaan bersetuju memberi peruntukan tambahan bernilai RM200 juta untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia adalah tambahan kepada peruntukan bernilai RM6.8 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 dibentangkan tahun lalu.
Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan itu akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Kemahiran Negara, selain Majlis TVET Negara bertanggungjawab menentukan bidang keutamaannya.
Beliau berkata, peruntukan tambahan itu bertujuan membiayai pelajar yang akan mengikuti program TVET bagi bidang berkaitan industri berasaskan peralihan tenaga, berasaskan teknologi dan digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, pertanian dan industri asas tani serta industri nadir bumi.
"Keutamaan adalah dalam bidang kenderaan Elektrik (EV); keselamatan siber; kecerdasan buatan (AI), bahan termaju, teknologi elektronik dengan tumpuan kepada reka bentuk litar bersepadu, kejuruteraan dan fabrikasi wafer; mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan penternakan.
"Pembiayaan dalam bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program latihan, selari hasrat kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
"Ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari keperluan revolusi industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan serta pastinya memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut bersetuju untuk mewujudkan lebih banyak segmen TVET terutama kepada masyarakat Orang Asli dan orang asal di Sabah serta Sarawak, selain menyifatkan perkara itu selari dasar ekonomi Madani.
"Cadangan (mewujudkan lebih banyak segmen TVET) untuk orang kurang upaya (OKU), orang asal (Sabah dan Sarawak), saya percaya ia selari kerangka ekonomi Madani.
"Justeru, tiada masalah untuk diluluskan dan Ahmad Zahid mempunyai mandat penuh daripada Jemaah Menteri untuk melaksanakan TVET dan beliau telah melakukannya dengan jaya serta membanggakan kita," katanya.
Perdana Menteri juga berharap semua pihak, terutama pelatih, tenaga pengajar dan pensyarah TVET akan menilai bidang berkenaan menerusi sudut baharu yang akan menentukan masa hadapan negara.
"Saya juga harap semangat baharu akan wujud, selain pelatih, tenaga pengajar, pensyarah dan sebagainya untuk melihat TVET mengikut kaca mata atau 'teropong' baharu.
"Ini (TVET) akan menentukan Malaysia akan terangkat sebagai negara hebat (dalam) industri teknologi tinggi dan AI di masa hadapan. Golongan muda jugalah yang akan menentukan sama ada kita mempunyai keupayaan (atau sebaliknya).
"Ini bukan sahaja soal mendapat pekerjaan disegani tetapi kerjaya yang (menawarkan) pendapatan lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, golongan muda wajar mempertimbang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET memandangkan negara ketika ini muncul lokasi pentingbagi pelaburan, terutama sektor semikonduktor.
Katanya, Jerman, beberapa negara di Eropah, Amerika Syarikat dan China adalah negara yang mengeksport cip dari Malaysia.
"Sebanyak 25 peratus daripada keperluan cip di AS di eksport dari Malaysia. Sayap pesawat Boeing dan Airbus juga disiapkan pelatih TVET Malaysia.
"Syarikat Airbus di Jerman baru-baru ini, mengakui keupayaan golongan muda kita kerana sudah tentu politik stabil dan dasar jelas. Namun, tidak boleh dinafikan disiplin dan tenaga kerja dijalankan dengan baik dan hasrat untuk memberikan yang terbaik," katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kecepatan perubahan pada tahap dunia pascanormal tidak pernah dilalui mahupun diduga sebelum ini, selain memerlukan kaedah baharu dan pantas bagi mengelak Malaysia daripada ketinggalan.
"Kalau kita masih tunggu dan menggunakan pendekatan lama, pastinya Malaysia akan ketinggalan. Negara lain tidak akan tunggu kita. Justeru, jangan terlalu berada di zon selesa.
"Jika tidak berubah dengan cepat kita akan ketinggalan dan ini semua harus dikuasai golongan muda dalam menentukan masa depan negara. Kerajaan akan cuba dan ikhtiar untuk menyediakan prasarana tetapi golongan muda perlu menggunakan peluang sebaiknya.
"TVET wajar dijadikan kerangka yang digerakkan setiap lapisan masyarakat di negara ini. Ia bukan hanya soal kementerian, jabatan atau agensi semata-mata sebaliknya perlu bina kekuatan semua orang untuk membina dan mengangkat martabat negara," katanya.
