Pelajar TVET MCI perlu dimanfaatkan dalam negara
25 June 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membuat perancangan bagi menyekat pelajar tempatan yang berpotensi untuk memajukan negara keluar khususnya selepas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkenalkan.
Malah, Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata kerajaan juga menubuhkan Malaysia-China Institute (MCI) untuk dimanfaat oleh lepasan pelajar dalam bidang tersebut dengan kerjasama penuh negara terbabit.
“Minta kerajaan menyatakan perancangan untuk pengekalan bakat para graduan TVET MCI agar kemahiran mereka dapat dimanfaatkan dalam negara tidak mengalir ke luar,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau dalam soalan asal meminta menteri menyatakan perancangan pengekalan bakat (talent retention) para graduan TVET Malaysia-China Institute (MCI) agar kemahiran mereka dapat dimanfaatkan dalam industri tempatan dan tidak mengalir ke luar negara.
Menurut Ahmad Zahid, penubuhan MCI merupakan satu strategi bagi memperkasakan kerjasama antara Malaysia dan China selain hasrat memperkukuh institusi TVET bidang ‘emerging technology’.
Menurutnya tujuan penubuhan MCI bagi membangunkan program latihan kemahiran TVET dan latihan industri secara berkembar antara dua negara serta membangunkan program profesional bagi memenuhi keperluan semasa.
Katanya pada peringkat permulaan, cadangan pelaksanaan melibatkan latihan kemahiran dalam bidang Electronic Vehicle (EV), Smart Manufacturing, Artificial Intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT).
“Pelajar akan mengikuti latihan yang berkonsepkan International Internship Programme di mana latihan akan dilaksanakan di kedua-dua negara dalam tempoh di antara dua minggu hingga dua tahun.
“Selepas selesai mengikuti program itu mereka akan dipastikan untuk penempatan pekerjaan di syarikat-syarikat China yang beroperasi di Malaysia dalam tempoh enam bulan selepas tamat program,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024
