Pilih bidang TVET, pelajar utamakan kelangsungan hidup
17 June 2025
SHAH ALAM - Faktor kelangsungan hidup menjadi antara pendorong utama peningkatan permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan lepasan sekolah, terutama selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, masyarakat kini tidak lagi terikat dengan pandangan bahawa hanya pendidikan akademik di menara gading menjamin kejayaan.
Menurutnya, peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan graduan turut menjadi faktor penyumbang kepada perubahan trend pendidikan masa kini.
“Masyarakat juga mula sedar bahawa selain daripada ilmu book smart, kita juga perlukan street smart untuk hidup dalam dunia sebenar yang penuh cabaran.
“Ilmu praktikal dan pengalaman lapangan tersebut adalah nilai tambah yang penting dalam menjana pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sistem bersepadu UP_TVET menerima sebanyak 140,000 permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu menunjukkan minat rakyat terhadap TVET meningkat, sekali gus membuktikan bidang tersebut menjadi pilihan utama rakyat dalam membina masa depan yang lebih cerah.
Tambah Hasnah, pelajar mula melihat bahawa kelangsungan hidup tidak semestinya bergantung kepada menyambung pelajaran ke menara gading semata-mata, sebaliknya kemahiran teknikal juga penting untuk menjana pendapatan.
Justeru, beliau bersetuju bahawa situasi terbabit menunjukkan TVET sesuai diceburi dan mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang di negara ini, selari dengan keperluan semasa industri.
Bagaimanapun, beliau menyarankan agar pendidikan teknikal tersebut turut meneroka bidang berasaskan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) agar kekal relevan dan berdaya saing di pasaran kerja.
“Sebagaimana yang kita ketahui, dunia semakin berubah kepada industri berasaskan AI, maka TVET pun perlu meneroka AI,” ujarnya.
Hasnah turut mencadangkan agar elemen keusahawanan dimasukkan dalam silibus kursus TVET supaya belia bukan sahaja mencari pekerjaan, tetapi mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Dalam pada itu, beliau menolak anggapan bahawa peningkatan berterusan permohonan ke bidang TVET akan menjejaskan kemasukan pelajar dalam bidang kritikal seperti perubatan, perakaunan, pengurusan kewangan dan sebagainya.
“Kesedaran mengenai pendidikan secara umum sudah meningkat, maka belia yang berminat dalam kursus-kursus seperti perubatan, perakaunan dan sebagainya akan sentiasa ada,” jelasnya.
Beliau turut memuji usaha kerajaan mewujudkan kolej vokasional yang telah membuka laluan baharu untuk pendidikan belia, selain penglibatan kolej swasta yang turut membantu memperluas akses kepada latihan kemahiran.
