Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Ekosistem TVET menyeluruh, moden kini di landasan tepat

17 June 2025

KUALA LUMPUR: Usaha menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai arus perdana kini berada di landasan tepat apabila ekosistemnya mula bersifat menyeluruh dan tersusun.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu bermula dengan menyegerakan pembentukan dasar nasional komprehensif, iaitu Dasar TVET Negara 2030.

Katanya, dasar itu bukan sekadar satu dokumen rujukan, tetapi menjadi kompas bersama menyatukan visi dan tindakan.

"Untuk menyokong dasar ini, kita sudah membangunkan Data Raya TVET, iaitu pangkalan data bersepadu yang menjadi pusat rujukan utama semua pihak daripada kementerian pelaksana hingga industri dan penyedia latihan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, satu lagi pencapaian penting ialah pelaksanaan sistem permohonan tunggal dikenali sebagai UP_TVET.

Katanya, menerusi platform itu, pemohon kini dapat mengakses pelbagai peluang latihan kemahiran secara berpusat dan mesra pengguna, tanpa kekeliruan serta tanpa sempadan.

"Semua langkah ini batu asas kepada pembentukan ekosistem TVET moden, menyeluruh dan berdaya saing yang kita bersama bangunkan.

"Ekosistem yang kini tidak lagi berpecah-pecah, tetapi khusus membangunkan tenaga kerja berkemahiran mampu mengangkat Malaysia ke tahap ekonomi tinggi mampan," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kejayaan membangunkan ekosistem TVET tidak mungkin tercapai tanpa satu komponen penting, iaitu kerjasama erat dengan industri.

Katanya, tanpa pembabitan mereka, latihan dijalankan tidak relevan dan wujud isu mismatch tidak berkesudahan.

"Alhamdulillah, usaha menyatukan TVET dengan keperluan industri menunjukkan hasil memberangsangkan dan sehingga Disember 2024 sebanyak 69 memorandum kerjasama (MoC) dimeterai antara institusi TVET dengan pelbagai pihak industri, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

"Selain itu, sebanyak 1,912 bentuk kolaborasi direalisasi dalam pelbagai bentuk termasuk gaji premium, penempatan latihan industri, pembangunan kurikulum bersama dan penyediaan fasiliti latihan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga melaksanakan penjajaran semula kandungan latihan supaya selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), termasuk dalam bidang strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor serta ekonomi digital.

"Namun kita sedar, program baik tanpa jaminan kualiti tetap akan dipersoalkan. Sebab itu, kita perkenalkan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET, iaitu satu standard nasional untuk menilai pengajaran dan pensijilan di semua institusi.

"Langkah ini memastikan graduan TVET diiktiraf industri dan layak menerima ganjaran serta peluang setaraf graduan akademik," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh kesinambungan laluan TVET ke peringkat lebih tinggi, Malaysia Technical University Network (MTUN) turut memainkan peranan penting.

Katanya, MTUN menyediakan laluan pendidikan tinggi berasaskan teknologi dan kejuruteraan untuk lepasan TVET, sekali gus memperluas mobiliti akademik dan kerjaya pelajar dalam bidang teknikal strategik.

"Insya-Allah, dengan langkah ini, kita sedang membina bukan sekadar sistem cekap, tetapi ekosistem TVET bertaraf dunia," katanya.

Ahmad Zahid berkata, walau sebesar manapun dasar, ia hanya bermakna jika sampai ke akar umbi dan begitu juga TVET kerana ia tidak boleh kekal di pusat dan perlu diperluaskan.

Oleh itu katanya, pihaknya melantik Penyelaras TVET Parlimen di seluruh negara sebagai jambatan antara institusi dan komuniti serta pemudah cara membuka akses latihan dan kerjaya kepada mereka yang selama ini terpinggir.

"Ini langkah decentralisation of responsibility supaya rakyat tidak mencari TVET, tetapi TVET hadir kepada mereka.

"Malah, dengan pendekatan ini, program TVET dapat disesuaikan mengikut keperluan lokal berpaksikan kekuatan daerah," katanya.

Teras utama pembangunan

Sementara itu, Anwar dalam ucapan berkata, dalam usaha mahu menjadikan Malaysia negara lebih berdaya saing dan maju, TVET tidak harus dilihat sebagai laluan pendidikan pilihan kedua.

Katanya, ia haruslah dilihat sebagai penggerak dan teras utama pembangunan ekonomi berasaskan kemahiran.

"Dalam kepantasan perubahan dunia dari kecerdasan buatan (AI) hingga ekonomi digital, Malaysia memerlukan tenaga kerja cekap, tangkas dan berdaya saing.

"Justeru, hari ini, lebih 436,000 anak muda kita sedang menimba ilmu dalam bidang TVET.

"Jika diteliti kadar bekerja graduan TVET pada tahun lalu, 95.1 peratus graduan TVET berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, satu lonjakan daripada 94.5 peratus pada tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, statistik itu sekali gus dapat menghakis sangkaan kononnya graduan TVET sukar mendapat kerja kerana ia fahaman lapuk dan kolot.

Namun akuinya, untuk mencapai ke tahap itu, pelbagai cabaran perlu ditempuh, termasuk cara meningkatkan kadar gaji graduan TVET selaras dengan kepentingan graduan TVET buat pembangunan negara.

"Oleh itu, kita lancarkan Dasar TVET Negara pada tahun lalu. Ini bukan dasar biasa. Ini ialah perisytiharan nasional Malaysia serius mahu melahirkan generasi tenaga kerja responsif, fleksibel dan inovatif.

"Kita mahu membina manusia yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi mampu memimpin perubahan," katanya.

Tegas beliau, tidak ada kejayaan tanpa modal insan berkualiti dan melalui TVET, negara berusaha menanam benih masa depan.

"Kita bina generasi baharu, generasi yang bukan sahaja tahu bekerja, tetapi tahu mencipta, membangun dan membina bangsa.

"Inilah wajah Malaysia MADANI yang kita mahu: adil, berkemahiran, beretika dan mampu berdiri sama tinggi di pentas global," katanya.

Anwar berkata, jika mahu mengangkat Malaysia sebagai negara berdaya saing tinggi, agenda memperkasa TVET tidak boleh lagi bersifat separuh hati.

Katanya, TVET mesti dilihat secara menyeluruh dari segi tadbir urus, kualiti latihan, kompetensi tenaga pengajar, prasarana kondusif hingga pembabitan industri menyeluruh kerana ia bukan agenda sampingan tetapi agenda nasional.

"Kita mesti sedar tenaga pengajar nadi kepada kejayaan sistem TVET. Mereka inilah yang melatih, membimbing dan membentuk barisan tenaga kerja masa depan negara. Maka, mereka perlu diberi peluang menjalani latihan upskilling dan reskilling secara berterusan.

"Selain itu, kursus dan program TVET tidak boleh terus kekal dalam acuan lama. Kita mesti menilai semula kerelevanan kurikulum dan memastikan ia benar-benar selari dengan bidang ekonomi baharu digariskan dalam NIMP 2030.

"Dari tenaga boleh baharu ke automasi, dari digitalisasi ke semikonduktor, setiap bidang mesti dijajarkan semula dengan keperluan sebenar industri," katanya.

Susulan itu, beliau menegaskan industri itu tidak boleh hanya menjadi pengguna kepada tenaga kerja terlatih tetapi perlu menjadi rakan strategik membentuk bakat ini.

"Sumbangan kepakaran, peralatan, pembangunan kurikulum bersama serta penajaan latihan, ini semua bukan pilihan, tetapi keperluan.

"TVET perlu turut dilaksana oleh industri, untuk industri, bersama industri," katanya.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara