Cadangan naik taraf Majlis TVET Negara kepada suruhanjaya mampu ubah persepsi pilihan kedua
14 June 2025
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menaik taraf Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara kepada Suruhanjaya TVET Negara, dijangka mampu mengubah persepsi bidang itu adalah pilihan kedua, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat serta industri terhadapnya.
Pengarah Bahagian Pembangunan Akademik, Jabatan Akademik dan Antarabangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Suriyani Ariffin, berkata malah status tahap pendidikan TVET juga akan mendapat pengiktirafan setara dengan program akademik lain.
Sekiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, beliau berkata, ia akan mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksana, menyelaras, mengawal selia dan menguatkuasakan dasar TVET secara lebih berkesan berbanding Majlis yang hanya bertindak sebagai penasihat.
"Selain itu, institusi TVET akan lebih dipandu arah, dipantau dari segi standard dan kualiti, serta mendapat sokongan lebih mantap untuk penambahbaikan dan kerjasama industri.
"Pada masa sama, cabaran utama sering dikaitkan dengan TVET iaitu persepsi masyarakat, pengiktirafan industri, isu standard kualiti tidak seragam serta kesukaran mendapat laluan pendidikan dan kerjaya yang jelas, akan turut semakin boleh diatasi.
"Pendidikan TVET juga boleh diperkasakan melalui kerjasama dengan industri, meningkatkan kemudahan latihan, memperluaskan laluan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi yang bukan pilihan kedua, serta mempromosikan TVET sebagai pilihan kerjaya utama," katanya kepada BH, di sini.
Kelmarin, media melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf Majlis TVET Negara kepada Suruhanjaya TVET Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipetik berkata perkara itu sedang ditelitinya bersama Kementerian Kewangan sebagai langkah untuk memastikan pendidikan TVET dapat diperkasakan lagi.
Sementara itu Ketua Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ahmad Nabil Md Nasir, berkata suruhanjaya berkenaan dijangka berupaya memastikan agenda TVET dapat disatu dan digerakkan dengan lebih sistematik.
Beliau berkata, suruhanjaya itu juga akan dapat memberi impak dari segi standard kurikulum dan pensijilan lebih berpusat.
"Suruhanjaya TVET Negara akan menjadi satu tempat rujukan khusus dan secara tidak langsung memberi jaminan dasar yang seragam serta cekap, khususnya dalam aspek melahirkan prospek kerjaya TVET negara.
"Namun, naik taraf ini perlu dilakukan secara bersistematik dan tersusun supaya semua pihak berkepentingan seperti pihak industri, kementerian, pusat latihan serta pusat pengajian tinggi dapat terbabit secara langsung dalam memberikan idea, cadangan dan pandangan bagi memastikan kelancaran prosesnya.
"Langkah positif ini akan dapat menjadikan sistem TVET lebih responsif kepada kehendak pasaran kerja dan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan," katanya.
Beliau berkata, pendidikan TVET juga perlu diperkasakan melalui beberapa langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Pertama, program akademik dan kemahiran TVET perlu diperkasakan melalui langkah akreditasi daripada Suruhanjaya TVET Negara yang berpusat.
"Ia bagi memastikan kualiti program terbabit berada pada standard sama dan sijil yang dikeluarkan diiktiraf oleh semua pihak, khususnya industri.
"Kedua, kerjasama erat dengan industri mesti diperkukuhkan melalui forum berkala dan pelebaran program latihan industri berstruktur, sambil menyediakan insentif kepada syarikat yang mengambil pelajar atau pensyarah TVET.
"Ketiga, pensyarah dan pengajar TVET perlu diberikan penekanan kepada pembangunan profesional berterusan, termasuk latihan industri serta pensijilan kemahiran terkini.
"Akhir sekali, peruntukan infrastruktur berteknologi tinggi (misalnya AR/VR, IoT, robotik) dan integrasi pembelajaran dalam talian berinteraktif perlu dipertingkatkan supaya pelajar TVET sentiasa selaras dengan perkembangan industri moden," katanya.
