Zahid kongsi pengalaman Malaysia majukan TVET di UCL
3 June 2025
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi pengiktirafan untuk menyampaikan ucapan akademik di University College London (UCL) dan kesempatan itu digunakan beliau untuk berkongsi pengalaman Malaysia memajukan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Dalam ucapan bertemakan Malaysia’s TVET Leadership in ASEAN: Building Skills for a Shared Future, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menyatakan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju dalam memacu agenda TVET di rantau ASEAN.
Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi dengan pendekatan yang inklusif dan berteraskan teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, tenaga boleh diperbaharui dan automasi industri.
“Malaysia tidak lagi sekadar menyesuaikan sistem TVET dengan keperluan industri, tetapi kini berada di barisan hadapan dalam mencorak pembaharuan TVET yang menyeluruh dan berpandangan jauh,” katanya.
Zahid berkata, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberi ruang strategik untuk memimpin anjakan paradigma dalam pembentukan ekosistem TVET serantau yang lebih tersusun, saling melengkapi dan berdaya saing.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia tekad menjadikan TVET sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serantau melalui jaringan kolaborasi dan pengiktirafan bersama yang memanfaatkan seluruh negara anggota,” katanya.
Sesi yang dihadiri oleh pelajar, sarjana serta tokoh akademik dari pelbagai negara itu, Zahid menjawab soalan daripada Prof. Michael, moderator sesi, berkaitan masa depan kemahiran, peranan TVET dalam ekonomi digital, dan potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan United Kingdom.
Beliau turut menyeru pelajar Malaysia di luar negara agar memainkan peranan sebagai duta kecil negara dan aktif menjalin jaringan rentas sempadan dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Ilmu dan kemahiran adalah aset utama dalam membina masa depan negara. Anak-anak Malaysia di luar negara perlu memanfaatkan peluang ini untuk kembali menyumbang kepada tanah air,” tegas beliau.
Malaysia tiba di London semalam bagi mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke negara itu.
Untuk rekod, UCAL merupakan salah sebuah universiti terkemuka di dunia, telah lama dikenali sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.
Ditubuhkan pada tahun 1826 di tengah-tengah kota London, UCL merupakan universiti pertama di England yang membuka pintunya kepada pelajar tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau jantina.
Dengan sejarah yang sarat dengan pencapaian akademik dan inovasi, UCL kini berada dalam kelompok universiti terbaik dunia serta menjadi ahli kepada Russell Group, kumpulan universiti penyelidikan utama di UK. – Edisi 9
