Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

MARA perkasa industri TVET, latih tenaga kerja Bumiputera berkemahiran tinggi pelbagai bidang

21 June 2025

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus institusi pendidikan MARA didominasi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau kemahiran sebagai teras utama, sekali gus menjadikan ia jaguh dan ke hadapan dalam bidang berkenaan.

Langkah ini sekali gus memperkukuh peranannya dalam melahirkan tenaga kerja Bumiputera yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi serta relevan dengan keperluan industri.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata 270 daripada 344 institusi di bawah agensi ini memfokuskan bidang TVET.

Beliau menyifatkan ia langkah strategik dalam membina ekosistem pendidikan yang bukan sahaja responsif terhadap kehendak pasaran, tetapi juga inklusif kepada komuniti termasuk luar bandar.

"MARA memainkan peranan penting dalam memperkasa pendidikan TVET secara menyeluruh, sistematik dan berdaya saing. <

"Kini lebih 125,000 pelajar aktif di seluruh institusi pendidikan MARA di seluruh negara.

"Daripada GIATMARA hinggalah ke UniKL, kita menyediakan laluan penuh iaitu daripada peringkat sijil hingga ke ijazah profesional yang berteraskan kemahiran tinggi dan keperluan industri," katanya Ketika menjadi tetamu dalam segmen Podcast BH 'Borak Harini', Jumaat lalu.

Transformasi menyeluruh disegerakan

Menjelaskan komitmen MARA terhadap agenda pendidikan yang seiring dengan kemajuan ekonomi negara, Pengerusi MARA menegaskan bahawa transformasi menyeluruh sedang digerakkan selaras dengan agenda pendidikan masa depan.

"Kini kita melakukan transformasi dalam konteks pendidikan sebab kita nak menawarkan peluang pendidikan yang seiring dengan keperluan pasaran masa akan datang dan ianya mesti diselaraskan dengan agenda negara," katanya.

Dalam pada itu, katanya MARA bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan insan Bumiputera, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin mobiliti sosial dan pengimbang strata ekonomi negara.

"Ramai pelajar kita yang berjaya dalam bidang masing-masing dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada sekurang-kurangnya keluarga mereka dan ini adalah hasrat yang kita impikan.

"Dan dalam konteks Malaysia hari ini, kita (golongan Bumiputera) sudah tidak berasa canggung dan malu kerana kita melahirkan tenaga mahir yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lain," katanya.

Mengulas lanjut mengenai MARA, Asyraf Wajdi berkata, agensi itu akan kekal sebagai teras agenda bagi pemerkasaan Bumiputera termasuk dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.

Usahawan Bumiputera boleh bersaing

Jelasnya, MARA bukan sahaja memberi peluang untuk golongan Bumiputera turut serta dalam program yang dilakukan, tetapi memastikan mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri.

"Agenda Bumiputera bukan untuk berpartisipasi (ambil bahagian) sahaja, tetapi untuk memiliki. Kita lahirkan teknousahawan yang boleh bersaing.

"Kita bukan sekadar sediakan dana, tetapi bimbingan dan penilaian berasaskan hasil," katanya.

Asyraf Wajdi menegaskan bahawa usaha memartabatkan MARA perlu diteruskan oleh semua pihak, terutama dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai pelbagai peluang yang ditawarkan.

"Sebab itu kita turun padang, anjurkan karnival, guna pendekatan 'merakyatkan MARA' supaya rakyat tahu bahawa mereka boleh manfaatkan segala program yang ditawarkan," katanya.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara