Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Kurang tenaga mahir tempatan jejas projek utiliti Sarawak

5 July 2025

KUCHING: Kejayaan projek bekalan air dan elektrik di Sarawak bukan sekadar bergantung kepada dana atau teknologi — tetapi sejauh mana tenaga kerja mahir tempatan dapat disediakan bagi melaksanakan projek utiliti di seluruh negeri, terutama di kawasan luar bandar.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kekurangan tenaga mahir masih menjadi antara cabaran utama dan bagi memenuhi keperluan itu, pelbagai inisiatif akan diperkenalkan bagi melahirkan lebih ramai pegawai teknikal terlatih, khususnya dalam bidang kritikal seperti penyambungan elektrik dan pemasangan paip.

“Apabila kita melaksanakan pelan induk dan sistem grid di seluruh Sarawak, kita dapati bilangan tenaga mahir masih belum mencukupi. “Ini menyukarkan kontraktor menjalankan kerja mengikut jadual dan piawaian,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Inovasi 2024 di sebuah hotel di Santubong, pada Jumaat (4 Julai).

Ujarnya, mengambil langkah ke hadapan, kementeriannya melancarkan buku garis panduan rasmi bertajuk Garis Panduan Institusi Bertauliah bagi Latihan dan Peperiksaan Kompetensi untuk Lesen Jurugegas dan Pemasang Paip yang memberi hala tuju kepada institusi latihan dalam melatih serta menilai kemahiran individu untuk menceburi bidang bekalan air secara profesional.

“Garis panduan ini menjadi prasyarat penting kepada kontraktor yang berdaftar di bawah Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ).

“Kalau kita mahu projek berjalan lancar dan selamat, kita perlu pastikan pekerja kita cukup cekap dan ada kelayakan,” tegasnya.

Langkah ini, jelas beliau, bukan sahaja memperkukuh struktur latihan dan peperiksaan, malah menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti kerja penyambungan dan pemasangan paip di lapangan — satu aspek kritikal dalam industri bekalan air yang semakin berkembang di Sarawak.

Menurut Julaihi, kementeriannya kini menjalinkan kerjasama dengan lebih 30 institusi latihan, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), bagi memperluas kapasiti melatih tenaga mahir tempatan.

“Kita perlu kenal pasti sekolah teknikal dan pelajar-pelajar yang berpotensi.

“Mereka inilah yang perlu dilatih kerana mereka bakal menjadi tenaga kerja kita dalam masa terdekat,” tambahnya.

Julaihi turut menegaskan bahawa kementerian akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui sebagai antara pemacu utama Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang menjadi kerangka hala tuju Sarawak.

“Kita mahu memastikan setiap rakyat, sama ada di bandar mahupun luar bandar, mendapat akses penuh kepada bekalan air, elektrik dan telekomunikasi menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut menyeru semua jabatan dan agensi di bawah kementerian, termasuk Bahagian Bekalan Air, Sarawak Energy dan Bahagian Pembangunan Projek (PCB), untuk terus berganding bahu memperkukuh latihan, sokongan teknikal dan pembangunan modal insan secara menyeluruh. Menurutnya lagi, keberkesanan penyampaian perkhidmatan utiliti amat bergantung kepada kebolehan dan kecekapan warga kerja yang terlibat — bukan sahaja di peringkat atasan, tetapi juga di lapangan.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara