TVET MARA terus diperkukuh dalam Belanjawan 2026
2 September 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan prasarana pendidikan awal kanak-kanak, program autisme serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2026.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prasarana Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas Pra-Tahfiz serta kemudahan untuk kanak-kanak autisme akan dipertingkat menerusi belanjawan itu.
“Apa yang kita tumpukan tahun lepas (meliputi pembangunan desa) akan diteruskan, namun ada beberapa fokus baharu termasuk menyebarluaskan Tabika Kemas Pra-Tahfiz.
“Kini terdapat 10,883 Tabika Kemas Pra-Tahfiz yang telah memulakan juzuk 30 untuk kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun dengan penyertaan seramai 125,000 murid. Insya-Allah kita menyasarkan penambahan kepada 140,000 murid pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan KKDW di sini hari ini.
Beliau berkata, tenaga pengajar Kemas juga akan dihantar menjalani latihan bagi memperkasa pedagogi atau kaedah pengajaran mereka.
Zahid turut mengumumkan transformasi baharu melibatkan penubuhan Tabika Autisme.
“Kita mulakan tahun ini dengan tiga tabika autisme di Melaka. Tahun depan kita akan wujudkan satu tabika autisme di setiap negeri, manakala pada 2027 disasarkan satu tabika autisme bagi setiap daerah,” katanya.
Menurut beliau, TVET juga akan terus diperkukuh, khususnya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi-agensi berkaitan KKDW, dengan sesi dialog bersama pihak berkepentingan turut diadakan bagi memantapkan input Belanjawan 2026.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata Transformasi Desa melalui 42 inisiatif “Game Changer” yang digerakkan KKDW telah mencatat pencapaian 64 peratus setakat ini.
“Dari Desa Kirana yang membuka desa kepada dunia pelancongan, ke Tabika Tunas Istimewa yang memberi peluang kepada anak-anak autisme, hingga ke ‘Smart Classroom’ yang membuktikan anak desa juga mampu menjejak arus digital.
“Semuanya adalah titik penting dalam peta jalan perubahan yang lebih luas,” katanya. — BERNAMA
