Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Piawaian COPTPA pacu persijilan TVET Malaysia

8 December 2025

KUALA LUMPUR: Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) kini muncul sebagai laluan pendidikan paling relevan dalam mendepani keperluan tenaga kerja negara.

Dengan perubahan pesat teknologi dan tuntutan industri yang semakin kompleks, TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya menjadi arus perdana dalam membentuk modal insan berkemahiran tinggi.

Malaysia sendiri sudah lama mengamalkan pendidikan berasaskan kemahiran melalui pelbagai inisiatif seperti latihan kemahiran, program perantisan, pendidikan vokasional, teknikal dan latihan tenaga kerja.

Namun, kepelbagaian pendekatan penyampaian dan mekanisme jaminan kualiti TVET sebelum ini mewujudkan ketidakharmonian dalam pelaksanaannya.

Dua agensi iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengaplikasikan dua kod amalan berbeza, iaitu COPPA yang dibangunkan MQA serta KAPPK oleh JPK.


Keadaan ini menyebabkan penyedia TVET, sama ada institusi awam atau swasta, terpaksa memilih antara dua sistem penilaian yang masing-masing mempunyai keperluan sendiri.

Turut terkesan ialah industri dan masyarakat yang berdepan situasi dua sistem jaminan kualiti bagi tujuan yang sama. Menyedari keperluan penyelarasan, kerajaan mengambil langkah menyatukan sistem jaminan kualiti TVET melalui kajian semula Rangka Kerja Kelayakan Malaysia (MQF).

Pada 2018, sektor kemahiran digabungkan bersama sektor vokasional dan teknikal di bawah payung TVET, sekali gus membuka jalan ke arah penggunaan satu kod amalan tunggal.

Hasilnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari 2019 bersetuju menerima pakai Kod Amalan untuk Pentauliahan Program TVET (COPTPA) sebagai rujukan utama MQA, JPK dan semua penyedia TVET.

COPTPA yang dibangunkan secara kolaboratif antara MQA, JPK dan pakar TVET berfungsi sebagai piawaian menyeluruh yang merangkumi pembangunan program, penilaian pelajar, sumber pendidikan, kompetensi tenaga pengajar, urus tadbir program serta penambahbaikan kualiti berterusan.

Edisi pertama COPTPA meliputi laluan pendidikan hingga Tahap 5 MQF manakala edisi kedua pada 2020 diperluas sehingga Tahap 6, membolehkan graduan TVET meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Salah satu kekuatan utama COPTPA ialah penegasan terhadap penggunaan standard yang diiktiraf industri, khususnya Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

Dengan lebih 2,000 NOSS diluluskan merangkumi 21 sektor ekonomi, standard ini menjadi asas dalam pembangunan kurikulum latihan yang menepati keperluan semasa pasaran kerja.

Kebergantungan kepada NOSS memastikan kompetensi yang dibangunkan benar-benar selaras dengan kehendak majikan.Di bawah Akta 652, Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) menyediakan laluan kerjaya yang setara dengan laluan akademik.

Program boleh dilaksanakan melalui Sistem Latihan Pusat Bertauliah (SLaPB) di institusi latihan atau melalui pendekatan latihan berorientasikan industri seperti Akademi Dalam Industri (ADI).

Sehingga kini, sebanyak 1,647 pusat bertauliah SLaPB dengan 6,178 program aktif beroperasi, melibatkan kapasiti melebihi 320,200 orang.

Bagi ADI pula, 1,924 pusat bertauliah aktif mampu menyediakan latihan kepada lebih 116,100 peserta. Kejayaan pelaksanaan SPKM berasaskan COPTPA membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem TVET dengan industri sebagai peneraju utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan penyelarasan jaminan kualiti ini, TVET Malaysia kini bergerak lebih mantap, tersusun dan diyakini semua pihak sejajar aspirasi "TVET Dipacu Industri".
Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara