Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Joyah buka laluan kejayaan wanita melalui TVET

1 January 2026

PENDIDKAN kemahiran jadi pemangkin perubahan hidup ribuan ibu tunggal dan wanita B40

Ribuan wanita Malaysia kini mampu membina kehidupan baharu melalui pendidikan dan kemahiran. Seorang daripada tokoh yang gigih dalam usaha ini ialah Datuk Joyah Abd Rashid, 60-an.

Walaupun pernah menghadapi cabaran sebelum bergelar usahawan, beliau tidak pernah jemu membantu wanita membina kehidupan baharu.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Lajoise Industries (M) Sdn Bhd, beliau berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang kesihatan dan kecantikan.

Joyah juga dikenali sebagai pemacu pembangunan ekonomi wanita, khususnya ibu tunggal, beliawanis, masyarakat Orang Asli dan golongan B40.


Pembabitannya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui Pusat Bertauliah (PB) Sistem Latihan Dua Nasional (SLDN) sejak 2004 membuka laluan baharu kepada ribuan usahawan dan pelajar.

Sebanyak 12,000 graduan sudah dilahirkan hasil kerjasama dengan 24 rakan strategik, majoritinya terdiri daripada ibu tunggal dan komuniti B40 yang sebelum ini hilang arah mencari pekerjaan.

Joyah berkata, TVET bukan pilihan terakhir bagi pelajar kurang cemerlang. Laluan kemahiran kini terbukti melahirkan graduan berpengetahuan tinggi yang diterima bekerja di syarikat ternama, malah ada yang berjaya meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.

"Ramai bermula dari kosong dan kini hidup jauh lebih baik. Ini bukti laluan kemahiran membawa kecemerlangan," katanya.

Sebagai ibu tunggal kepada dua anak berusia 35 dan 32 tahun, Joyah memahami cabaran wanita yang membesarkan keluarga sendirian.

Program yang dilaksanakannya memberi fokus kepada wanita, terutama ibu tunggal dan golongan asnaf.

Pendekatan fleksibel

"Melihat mereka berdikari selepas mendapat latihan dan peluang adalah kepuasan besar," katanya.

Beliau menekankan pendekatan fleksibel dalam pendidikan kemahiran. Program latihan modular membolehkan peserta memilih modul tertentu dan mula bekerja lebih awal tanpa menunggu tamat keseluruhan kursus. Contohnya, kursus urut tradisional boleh disiapkan dalam satu atau dua bulan. Modul ini boleh digabungkan kemudian untuk melengkapkan sijil penuh setaraf diploma, sesuai untuk golongan bekerja atau ibu tunggal.

Kerajaan turut menyokong dengan kursus jangka pendek tiga hingga enam bulan serta pemberian 'toolkit' bernilai RM7,000 hingga RM8,000 bagi peserta program keusahawanan.

"Sebelum bantuan disalurkan, lawatan rumah dilakukan untuk memastikan penerima benar-benar daripada golongan B40. Hasilnya, 95 peratus peserta wanita, terutama ibu tunggal, berjaya keluar daripada kesempitan hidup, menjana pendapatan RM3,500 sebulan dan ada yang mencapai RM15,000 hingga RM20,000 bahkan bekerja di luar negara," katanya.

Menurut Joyah, kejayaan ini bukan sekadar soal kerjaya, tetapi misi kemanusiaan.

"Apa yang saya buat cuma membuka pintu dan memberi peluang untuk mengubah kehidupan mereka. Ribuan ibu tunggal, pelajar tercicir dan wanita B40 kini berdiri dengan kehidupan baharu, membuktikan perjuangan dalam dunia TVET memberi impak besar kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini memperkenalkan pendekatan latihan modular yang lebih fleksibel dan kompeten untuk memenuhi kehendak pasaran kerja moden.

Peserta boleh memilih modul berdasarkan minat dan keperluan, mempercepatkan tempoh latihan, serta membolehkan mereka terus bekerja dan menjana pendapatan.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara