Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Input industri syarat utama lulus program pengajian – MQA

12 January 2026

SEMUA program pengajian yang ditawarkan oleh universiti di negara ini diwajibkan mengambil kira pandangan dan keperluan industri sebelum diluluskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, langkah itu bertujuan memastikan kebolehpasaran graduan serta mengelakkan ketidakpadanan antara kelulusan akademik dan kehendak majikan.

Katanya, keperluan tersebut merupakan antara kriteria utama dalam penilaian dan kelulusan program pengajian.

“Kami mahu graduan yang keluar daripada universiti benar-benar bersedia untuk memasuki pasaran kerja, sebab itu MQA memastikan setiap program pengajian dibangunkan dengan pandangan daripada industri supaya apa yang dipelajari di kampus menepati kehendak majikan.

“Semua program yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) telah menerima input industri sebagai sebahagian daripada proses penilaian pihaknya,” katanya hari ini.

Mohammad Shatar berkata, MQA bersama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengawal selia serta menyemak program pengajian yang ditawarkan.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab memastikan program memenuhi keperluan industri dan tidak berlaku pertindihan antara IPT.

Selain itu, katanya, program pengajian juga menerima input daripada Ketua Pegawai Eksekutif Fakulti (CEO) yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), khususnya di universiti awam.

Katanya, CEO Fakulti berperanan membantu universiti merangka dan membangunkan program baharu yang relevan dengan keperluan pasaran kerja.

“Di samping itu, KPT yang diterajui Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir turut memberi penekanan kepada pendidikan sepanjang hayat dan pembelajaran fleksibel.

“Usaha tersebut dilaksanakan melalui pengembangan micro-credentials dan kursus kemahiran jangka pendek yang boleh digabungkan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta penawaran pengajian menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

“Pendekatan ini bertujuan menyokong peningkatan kemahiran berterusan graduan selaras dengan perubahan teknologi dan keperluan ekonomi digital,” katanya.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara