Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

TVET bukan pilihan kedua, kini jadi arus perdana pendidikan negara

9 April 2026

NILAI: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan hasil membanggakan, apabila graduan Kolej Vokasional (KV) mencatat kadar kebolehpasaran 99 peratus bagi tempoh tiga tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyifatkan TVET tidak lagi dipandang sebagai pilihan kedua, malah kini menjadi arus perdana pendidikan negara yang semakin mendapat kepercayaan daripada pelajar, ibu bapa serta masyarakat.


“Permohonan TVET di KPM sangat tinggi, kita sudah pun melebihi permintaan daripada apa yang mampu kita sediakan dan ini menunjukkan kepercayaan ibu bapa serta masyarakat terhadap TVET semakin tinggi,” jelasnya.

Katanya, kejayaan graduan bukan sahaja didorong oleh kemahiran teknikal, malah diperkukuh dengan kerjasama erat bersama pihak industri.

Penglibatan industri penting bagi memastikan program dan latihan yang ditawarkan di KV sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Jadi kita memang sentiasa ‘up to date’ dengan industri supaya keperluan dan kursus yang kita laksanakan di peringkat KV menepati apa yang industri mahukan.

“Kita tidak mahu ketidakpadanan (mismatch) antara kemahiran graduan dan keperluan industri dan sebab itu, pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi memastikan anak-anak kita bukan sahaja mempunyai jaminan pekerjaan, malah kemahiran mereka terus dihargai serta bakat yang dimiliki dapat diperkasa demi memenuhi keperluan industri negara,” katanya.

Beliau ditemui media di Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kali Ke-10 Tahun 2025 di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang sedekad pelaksanaan program KV, lebih 100,000 graduan berjaya dilahirkan.

Dalam pada itu, seramai 10,808 graduan KV dari seluruh negara menerima diploma masing-masing.

Bagi sidang lapan hari itu, seramai 558 graduan melibatkan graduan Diploma Perakaunan, Diploma Hortikultur dan Diploma Teknologi Elektrik.

Fadhlina berkesempatan menyampaikan dua anugerah utama kepada graduan cemerlang iaitu Anugerah Emas Menteri Pendidikan dan Anugerah Pelajar Terbaik Program.

Anugerah Emas Menteri Pendidikan dianugerahkan kepada Mira Atasha Abdullah, pelajar Diploma Perakaunan dari Kolej Vokasional Perdagangan.

Selain itu, Anugerah Pelajar Terbaik Program dianugerahkan kepada Nur Fatin Nabilah Muhamad Rosli dari Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan.


Gambar: Fadhlina hadir di Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kali Ke-10 Tahun 2025, hari ini.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara