Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Kerajaan disyor wujudkan Akta TVET

1 May 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewujudkan Akta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berupaya menjadi peralihan besar dalam memantapkan lagi aspek cabang pendidikan itu.

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, ketika sesi utama menilai dasar pendidikan Bumiputera pada Kongres Pendidikan Bumiputera, di sini hari ini.

Zaini yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), berkata penubuhan akta itu penting kerana definisi TVET kini amat longgar dan memerlukan pemantauan terhadap cabang pendidikan berkenaan.

"Saya mencadangkan supaya kita ada Akta TVET....tidak semua TVET kita ini teknikal. Sebahagian belajar bahasa pun dianggap TVET. Jadi definisi TVET kita amat longgar...jika kita ada akta khas dan secara tidak langsung kita pantau, ini akan menjadi peralihan besar yang berlaku dari segi sistem," katanya.
Sesi utama itu turut disertai lima panel lain antaranya Naib Canselor International Medical University (IMU), Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Pengarah Sekretariat Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO), Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

Sesi itu dipengerusikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh.Pada masa sama, Zaini berkata, aspek pembiayaan pendidikan juga dicadang dipeluaskan bukan hanya daripada kerajaan dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun juga kepada pendekatan wakaf.

"Saya difahamkan wakaf dan jumlah zakat di Malaysia sekarang kita ada lebih kurang RM5 bilion setahun. Ya, dan mungkin boleh digunakan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaini berkata, pihaknya tidak melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) boleh dihapuskan.

Beliau berkata, ini kerana jika AUKU dihapuskan, setiap universiti perlu mempunyai akta sendiri yang mana ia dilihat tidak relevan.

"Ramai orang kata supaya menghapuskan AUKU. Tidak boleh hapuskan AUKU sebab kalau kita hapuskan AUKU setiap universiti perlu ada akta sendiri.

"Selepas Dasar Ekonomi Baru apabila kita hendak menubuhkan banyak universiti, jadi kita menggabungkan dalam satu akta namanya AUKU.

"Jadi tak payah setiap universiti ada satu akta tertentu. Ya, selepas daripada itu sekarang ini kita ada 20 universiti awam," katanya.

Zaini berkata, sistem pendidikan tinggi negara kini setanding dengan Sweden dan Switzerland yang berjaya dicapai hasil melalui penubuhan beberapa akta termasuk Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, AKta MQA 2007 dan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997.

"Contohnya semasa saya di Sweden, Perancis dan Switzerland, rakan saya bertanya bagaimana graduan perubatan di Malaysia boleh bekerja di hospital United Kingdom, Australia, Singapura dan sebagainya sedangkan mereka tidak boleh?

"Graduan daripada Perancis tidak boleh bekerja di hospital di negara yang saya sebutkan tadi. Graduan kita boleh. Bagaimana jurutera di Malaysia yang terhasil melalui program TVET dan sebagainya dialu-alukan berada di negara seperti Jepun dan Korea Selatan sedangkan negara jiran tak boleh masuk?

"Rahsia kepada kejayaan terbabit, ini yang menjadi persoalan. Contoh yang ketara ini, kita ucap tahniahlah satu tepukan gemuruh pada menteri kita," katanya.

Gambar: Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Emeritus Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang bercakap pada Sesi Utama ‘’Menilai Dasar-Dasar Pendidikan Bumiputra’’ pada Majlis Kongres Pendidikan Bumiputera sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Foto BERNAMA
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara