Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Penubuhan Majlis Tahfiz Negara, Suruhanjaya TVET antara resolusi diluluskan Kongres Pendidikan Bumiputera

1 May 2026

KUALA LUMPUR: Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 meluluskan resolusi supaya Majlis Tahfiz Negara ditubuhkan yang akan berperanan menyelaras halatuju pendidikan tahfiz di peringkat nasional.

Ketua Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kongres juga setuju memberi fokus kepada pembentukan tahfiz pencipta dan tahfiz hibrid, disamping memperkasa pengarusperdanaan pendidikan tahfiz.

Katanya, kongres kali ini juga setuju supaya penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) Negara sebagai badan induk bagi menyelaras dan memperkukuh ekosistem TVET mesti disegerakan.

"Di dalam sesi mengenai memperkasakan TVET, semua perkara yang disebut itu sebenarnya dijawab dan boleh dijayakan dengan penubuhan Suruhanjaya TVET yang ada akta khusus mengenai dengan TVET," katanya pada majlis penutupan Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Majlis penutupan itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut sama hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mohd Puad berkata, kongres juga meluluskan resolusi supaya penyusunan semula dibuat ke atas sistem pendidikan dan latihan guru agar selari dengan keperluan ekonomi masa depan.
Resolusi lain turut dipersetujui kata beliau, adalah memperkukuhkan pembangunan bakat Bumiputera serta melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh sistem pendidikan prasekolah termasuk penambahan peruntukan.

"Se;ain menubuhkan Wakaf Pendidikan Bumiputera yang diuruskan secara profesional dan diletakkan di bawah satu institusi kerajaan sedia ada. Tadi Pengerusi MARA (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) memberi komitmen untuk bersedia bekerjasama.

"Kita harap Wakaf Pendidikan Bumiputera ini kalau dapat diwujudkan di bawah institusi seperti MARA yang diurus secara profesional dan ada kerjasama daripada mereka sudah berpengalaman. Ini akan meningkatkan dan memperkasakan lagi sistem ataupun dasar pendidikan Bumiputera," katanya.

Mohd Puad berkata, apa yang menjadi cabaran kepada kongres ini ialah dari segi pelaksanaannya, iaitu bagaimana segala resolusi yang dipersetujui direalisasikan.

"Ini semua adalah agenda Melayu dan Bumiputera. Ia bukan saja memerlukan kesungguhan politik tetapi juga keberanian politik dan juga kejujuran politik. Tidak semestinya hanya di ketika politik Melayu menjadi dominan, maka agenda Melayu boleh dilaksanakan.

"Tetapi ketika kita terpaksa berkongsi kuasa selagi ada kesungguhan politik keberanian politik dan kejujuran politik, maka resolusi kita pada hari ini tetap boleh dijayakan," katanya.

Gambar: Dr Ahmad Zahid (tengah) menerima Resolusi Kongres daripada Dr Zambry (kiri) sambil disaksikan Dr Mohd Puad pada Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di WTC Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara