Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Cendana Auto bina kemahiran tenaga kerja TVET, pesara ATM

5 May 2026

KUALA LUMPUR: Cendana Auto Sdn Bhd (CASB) mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain strategik dalam industri automotif dan pertahanan negara melalui pendekatan menyeluruh merangkumi inovasi teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi (ToT) serta pemerkasaan tenaga kerja tempatan.Syarikat milik penuh Bumiputera yang ditubuhkan pada 2013 itu menggerakkan usaha bersepadu bagi menyokong aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), selari dengan keperluan meningkatkan keupayaan pertahanan domestik.

Seiring dengan perkembangan industri, CASB memberi penekanan kepada pembangunan kenderaan taktikal, pengukuhan kapasiti R&D serta pembangunan modal insan termasuk dalam kalangan tenaga kerja Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketika ini, syarikat disokong oleh 168 tenaga kerja terdiri daripada pekerja mahir tempatan serta pesara ATM, termasuk melalui kerjasama strategik bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).Gabungan kepakaran teknikal dan pengalaman operasi itu menjadi teras penting dalam memperkukuh keupayaan syarikat memenuhi keperluan sektor pertahanan dan keselamatan negara.

Pengarah Cendana Auto, Datuk Abdul Rauf Nassiruddin, berkata syarikat kekal komited untuk memperkasakan industri pertahanan negara melalui pembangunan teknologi tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar."Pendekatan ini turut memberi fokus kepada peningkatan keupayaan modal insan sebagai asas kepada pembinaan ekosistem industri pertahanan yang mampan," katanya kepada BH.

Beliau ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini, baru-baru ini.

Bagi memastikan pematuhan piawaian industri, CASB memperoleh pelbagai lesen dan pensijilan termasuk Lesen Pembuatan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), keahlian MIDES serta pensijilan ISO 9001:2015 bagi Sistem Pengurusan Kualiti.

Skop pensijilan itu merangkumi reka bentuk dan pembuatan kenderaan khas ketenteraan dan bukan ketenteraan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembekalan alat ganti serta penyelesaian telekomunikasi pertahanan.

Syarikat turut memiliki Sijil Pendaftaran Bengkel Kejuruteraan (Kategori A) serta kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembinaan badan baharu, pembaikan dan pengubahsuaian teknikal pelbagai kategori kenderaan termasuk kenderaan tentera.

Dalam aspek pembangunan produk, CASB aktif membangunkan dan mengeluarkan kenderaan taktikal 4×4 bagi pelbagai peranan operasi termasuk logistik, Fitted For Radio (FFR), pengangkut anggota taktikal serta kenderaan operasi khas.

Melalui keupayaan R&D dalaman, syarikat turut membangunkan sistem persenjataan dan peralatan sokongan seperti pelancar grenad asap, tapak pemasangan senjata dan sistem pengurusan kuasa.

Semua pembangunan berkenaan melalui proses kejuruteraan dan ujian menyeluruh dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, kebolehpercayaan serta keserasian operasi di lapangan.

Bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan, CASB menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kerjasama itu meliputi penyelidikan bersama, pembangunan prototaip, latihan industri, pemindahan ilmu serta pembentukan kurikulum berorientasikan industri bagi melahirkan tenaga kerja mahir.

Dalam usaha memperkukuh keupayaan teknologi, CASB turut bekerjasama dengan Hanwha Aerospace dari Republik Korea bagi melaksanakan pemindahan teknologi untuk program pemodenan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).

Syarikat juga terbabit dalam Program Lanjutan Hayat (LEP) bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta memanjangkan jangka hayat aset pertahanan negara.

Sempena DSA & NATSEC 2026 baru-baru ini, CASB mempamerkan kenderaan MIFV yang dinaik taraf serta Infantry Section Vehicle (ISV), sekali gus menonjolkan keupayaan teknologi tempatan dalam pembangunan mobiliti taktikal.

Penyertaan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara serta menyokong keselamatan dan kedaulatan Malaysia melalui pembangunan industri tempatan.

Gambar: Abdul Rauf semasa ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Kuala Lumpur - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara