Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

UTeM lakar sejarah, IPT pertama tawar program Doktor Amalan Profesional berteraskan TVET diluluskan MQA

21 May 2026

AYER KEROH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, melakar sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini menerima kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan program Doktor Amalan Profesional (DPP) berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).Kelulusan itu disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara sekali gus membuka laluan lebih luas kepada teknologis dan golongan profesional industri melanjutkan pengajian ke peringkat doktoral berasaskan amalan industri sebenar.

Berbeza dengan program Doktor Falsafah (PhD) konvensional yang lebih menumpukan penyelidikan teori, DPP memberi fokus kepada penyelesaian isu industri menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (Professional Practice-Based Learning atau PPBL).

Menerusi pendekatan itu, pelajar akan menjalankan penyelidikan secara langsung di tempat kerja masing-masing bagi menghasilkan penambahbaikan proses berimpak tinggi dan penyelesaian praktikal lebih efektif, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada industri melalui aplikasi pengetahuan, teknologi dan inovasi dalam persekitaran kerja sebenar.Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program berkenaan dibangunkan secara teliti dengan pembabitan rakan strategik industri bagi memastikan kurikulumnya relevan, praktikal dan memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan.

"Pelaksanaan program ini turut mengambil kira keperluan negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berlatarbelakangkan TVET khususnya dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem tenaga pintar, digitalisasi industri, automasi, dan teknologi mampan."Program ini juga dilihat sebagai kesinambungan penting laluan pendidikan TVET sehingga ke peringkat kedoktoran, sekali gus memperkukuhkan pembangunan modal insan negara dalam bidang teknikal dan teknologi berimpak tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Penganalisis pendidikan melihat pengenalan DPP sebagai langkah strategik yang mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET yang sebelum ini sering dianggap terhad kepada pendidikan kemahiran peringkat rendah dan sederhana.

Kewujudan laluan doktoral berteraskan TVET ini diyakini mampu meningkatkan daya tarikan golongan profesional untuk terus meningkatkan kelayakan akademik tanpa perlu meninggalkan sektor pekerjaan masing-masing.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara