Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Pusat penyelidikan kerajaan wajib buka peluang latihan kepada pelajar TVET mulai Julai

6 June 2026

PUTRAJAYA: Semua pusat dan badan penyelidikan kerajaan diwajibkan memberi peluang latihan awal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mulai bulan depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia sebagai usaha memperbanyakkan tenaga sumber manusia TVET yang menguasai bidang yang benar-benar baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), kriptologi dan peralihan tenaga, bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, negara mempunyai ratusan pusat penyelidikan termasuk yang mencatatkan prestasi luar biasa serta berada pada kedudukan ke-10 atau ke-11 di peringkat antarabangsa.

"Maka saya mahu pastikan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan menyelaraskan supaya semua badan latihan penyelidikan kerajaan itu diwajibkan mulai bulan depan berikhtiar untuk memberi peluang latihan awal antara 50 hingga 100 orang di setiap TVET yang terpilih."Dan dipilih untuk menguasai bidang-bidang yang benar-benar baharu. Dalam AI, kriptologi, peralihan tenaga. Dan mereka akan ditempatkan sama ada di MARDI atau di Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) atau mana-mana badan penyelidikan yang sekarang di bawah, diselaraskan Majlis Sains Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata, melalui inisiatif itu, lulusan TVET dalam bidang terpilih itu dengan sendirinya melebihi lepasan Ijazah Sarjana Muda.

Justeru, beliau berkata, upah dan gaji yang boleh ditawarkan kepada lulusan TVET terbabit juga perlu melebihi paras yang diperoleh lepasan Sarjana Muda.

"Ini bagi saya suatu ikhtiar tambahan, kerana saya lihat umpamanya ada bidang-bidang pengkhususan penyelidikan yang telah mencatat satu prestasi luar biasa.

"Peruntukan dari kerajaan juga tinggi tetapi seperti saudara sedia maklum, mereka masih juga terikat dari program pendedahan, latihan dan dalam rangka kerja mereka tak termasuk latihan.

"Jadi saya tambah sekarang dan mungkin dalam masa minggu depan KSN akan panggil semua badan-badan penyelidikan ini dan menetapkan mereka harus ambil dari setiap TVET, beberapa orang yang terpilih untuk diberikan kursus tambahan supaya ada kemahiran dan kepakaran yang belum diperolehi dalam sistem pendidikan awam hari ini," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, walaupun universiti tempatan mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan, ia masih tidak mencapai kehendak dan piawaian industri.

"Bila kita tanya syarikat-syarikat utama; NVIDIA, Infineon, AWS dah ada bidang IT dan juga beberapa bidang kripto, tahap latihan itu tidak sampai ke standard yang diperlukan.

"Umpamanya, Infineon dengan USM rapat hubungannya, tetapi ternyata lulusan kejuruteraan kita masih perlu pendedahan beberapa disiplin kemahiran tambahan dan ini boleh dipenuhi oleh syarikat.

"Sinergi ini sedang berjalan tapi saya kata mengapa tidak boleh badan penyelidikan kita yang ratusan itu juga memberikan pendedahan selain daripada apa yang mereka lakukan untuk universiti, ini satu program khusus untuk TVET," katanya.

Gambar: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat reruai selepas merasmikan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara