Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Tawaran latihan adalah berdasarkan data terkini permintaan tenaga mahir oleh industri - KP JPK

5 June 2026

KUALA LUMPUR: Latihan yang ditawarkan oleh institut latihan kemahiran adalah berdasarkan kepada permintaan sebenar tenaga mahir dalam industri.

Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kamaruzaman Md Ali berkata, penetapan jenis latihan adalah berdasarkan data semasa yang diperoleh. “Sebelum ini, data-data yang kami tumpukan adalah lebih kepada data bekalan. Tetapi sekarang kita beri tumpuan kepada data yang berasaskan permintaan.

“Kita ambil input-input daripada MIDA, ekonomi negeri dan sumber-sumber lain yang kita akan terjemahkan kepada bentuk latihan yang kita benarkan untuk dijalankan di institut kemahiran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.

Tambah Kamaruzaman, antara cabaran yang dihadapi oleh pihak JPK untuk menambah baik ekosistem TVET negara adalah permintaan industri yang mahu tenaga mahir dilahirkan dalam masa yang singkat.

Dalam temu bual sama, Presiden Belia Mahir yang juga Ahli Majlis TVET Negara, Mohammad Rizan Hassan pula berpandangan, penjenamaan TVET yang tidak konsisten dibimbangi menimbulkan kesukaran kepada murid dan ibu bapa untuk memilih haluan pendidikan.

“Kadang-kadang berlaku persaingan penjenamaan yang membuatkan masyarakat keliru. Sebelum ini, masyarakat keliru tentang kualiti graduan TVET yang masuk ke dalam dunia pekerjaan.

“Sekarang ini kekeliruan berlaku berkait dengan terma-terma jenama; TVET termaju, TVET 4.0 dan sebagainya. Ini membuatkan masyarakat keliru untuk memilih pusat pengajian TVET," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, sambutan Hari TVET Negara 2026 akan berlangsung di Dataran Putrajaya selama tiga hari bermula 5 Jun hingga 7 Jun 2026. Karnival ini menghimpunkan pelbagai agensi dan institusi TVET serta menawarkan pelbagai aktiviti pameran, khidmat nasihat kerjaya, dan karnival kerjaya kepada orang ramai.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara