Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

OEC, Majlis TVET Negara laksana Program Filem Mikro Berasaskan AI

3 August 2026

Kuala Lumpur: Konsortium Ekonomi Jingga (OEC) akan bekerjasama dengan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara untuk melaksanakan Program Latihan Industri Filem Mikro Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) selama enam bulan, selaras dengan usaha memperkasakan bakat tempatan untuk menghasilkan karya bertaraf antarabangsa.Pengerusi OEC Datuk Kamil Othman berkata, konsortium itu juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai inisiatif Kerajaan MADANI yang menyediakan langganan percuma aplikasi AI selama tiga bulan kepada 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun yang berjaya menamatkan modul pembelajaran di platform Rakyat Digital.

"Inisiatif ini merupakan satu langkah strategik dalam mempercepat transformasi Malaysia ke arah merealisasikan Aspirasi Negara AI 2030, di samping memastikan akses kepada teknologi AI dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat.

"Penguasaan AI perlu diterjemah kepada penciptaan kandungan kreatif yang bernilai tinggi dan mampu menjana ekonomi baharu negara. Sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke hadapan dengan memanfaatkan AI sebagai pemangkin pembangunan kandungan kreatif, sambil memastikan nilai budaya, identiti nasional dan etika terus menjadi asas kepada setiap inovasi yang dihasilkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai program yang akan dijalankan bersama Majlis TVET Negara itu, Kamil berkata, ia akan memberi latihan intensif kepada graduan TVET dalam bidang penulisan skrip menggunakan AI, pengarahan, sinematografi, penyuntingan, kesan visual, penghasilan kandungan digital, pengurusan harta intelek (IP) serta penerbitan kandungan untuk platform penstriman.


"Program ini memberi tumpuan kepada penghasilan filem mikro dan kandungan video pendek yang sesuai untuk platform mudah alih dengan naratif yang mengangkat sejarah, budaya, nilai dan tamadun alam Melayu Nusantara sebagai identiti utama kandungan Malaysia."Bagi menyokong pelaksanaan program tersebut, OEC akan memanfaatkan SIARAYA, iaitu platform penstriman kandungan tempatan, sebagai saluran penerbitan dan pengkomersialan hasil karya peserta," katanya.

Kamil berkata pembangunan kandungan akan diperkasakan oleh OKSS AI Workflow, iaitu satu sistem pengurusan pengetahuan berasaskan AI yang membantu mempercepat pembangunan skrip, pengurusan kandungan, hak cipta dan analitik.

"Melalui ekosistem ini, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal, malah berpeluang membangunkan IP sendiri yang boleh dipasarkan ke industri filem, drama, Over-The-Top (OTT), animasi dan media digital," katanya.

Beliau berkata inisiatif kerajaan untuk memperluas akses kepada AI perlu disusuli dengan usaha membina ekosistem ekonomi kandungan yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda.

"OEC sedang membangunkan Rangka Tindakan Ekonomi Jingga Negara yang akan menjadi kerangka strategik bagi pembangunan industri kandungan digital negara, merangkumi ekosistem 'Buku-ke-Skrin', Pasaran Rentas Media, Pengkaryaan Kandungan AI, ekonomi harta intelek serta pembangunan bakat kreatif melalui kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

"OEC percaya bahawa pembangunan AI di Malaysia perlu berteraskan prinsip 'Teknologi Berpaksikan Insan' selain kemajuan teknologi perlu berjalan seiring dengan pembinaan insan, pemeliharaan budaya dan pengukuhan identiti negara," katanya.

Kamil berkata pendekatan itu selaras dengan matlamat ekonomi jingga untuk menjadikan kandungan kreatif bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga sebagai medium memperkukuh naratif bangsa Malaysia selain turut menyokong kenyataan Perdana Menteri bahawa kemajuan AI tidak boleh menghakis agama, budaya dan nilai moral masyarakat.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara