Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Tahfiz TVET di Jerantut bakal jadi kenyataan

20 March 2024

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, semalam gilirannya untuk mendapat respons bagi usul yang telah dibawa di Dewan Rakyat.

Menurutnya, ia berkenaan hasrat beliau merealisasikan Tahfiz TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) melalui Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang juga Ahli Parlimen Lipis kerana memberikan perhatian usul besar itu.

Katanya, program itu dalam fasa terakhir pembentukan modul kerangka pembelajaran TVET dan ia akan menjadi medium integrasi di antara pusat tahfiz dengan institusi TVET dan industri-industri.

“Alhamdulillah, program ini dijangka akan dapat dilaksanakan pada Julai 2024 ini,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau menambah, maksudnya tidak lama lagi, Sijil Integrasi Teknologi Perbuatan Pemesinan boleh dipelajari di ADTEC Jerantut oleh pelajar-pelajar tahfiz yang melepasi syarat-syarat tertentu.

Jelasnya, program itu juga akan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui National Occupational Skills Standards (NOSS) Operasi Pemesinan CNC, Sijil Kemahiran Tahap 3.

Buat masa sekarang, ujarnya pihak ADTEC Jerantut sedang menguruskan urusan pentauliahan berkaitan program dan menanti kelulusan pihak jawatankuasa kepakaran kluster pembuatan.

Tambahnya, Latihan Sijil Teknologi Pembuatan Pemesinan Tahap 3 itu akan mengambil tempoh dua tahun tiga bulan dan ianya merangkumi lima semester iaitu dua tahun pengajian dan tiga bulan latihan industri.

Menurutnya lagi, modul Tahfiz TVET Jerantut akan dilaksanakan secara integrasi di mana pelajar yang telah tamat pengajian dengan jayanya boleh melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Teknologi Pembuatan dengan tambahan tempoh pengajian selama tiga semester iaitu 18 bulan.

“Marilah kita bersama doakan agar Allah permudahkan usaha murni ini untuk Jerantut melahirkan individu yang kompeten dalam bidang agama serta berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

Portal Rasmi TVET MADANI © 2024 Hak Cipta Terpelihara