Belia perlu rebut peluang pekerjaan TVET tersedia di seluruh negara
16 June 2023
REMBAU: Golongan belia digesa untuk merebut peluang mengisi peluang-peluang pekerjaan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang banyak tersedia di seluruh negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, oleh itu golongan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun yang tidak memiliki sijil berkenaan juga dialu-alukan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET.
Menurutnya, banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang kemahiran dan menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
“Kerajaan juga menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus pelajar lepasan SPM akan melanjutkan pengajian dalam program-program TVET. Banyak peluang dan ruang sebenarnya yang perlu diterokai termasuklah tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI). Bagi yang tiada SPM pun boleh masuk GiatMara, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan lain-lain lagi. Bagi pihak kementerian melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kami sentiasa komited dalam memperkasakan dan mengarusperdana bidang TVET termasuk penjenamaan semula bidang ini bagi menarik minat pelajar dan ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan 2023 di ILP Pedas, di sini, hari ini.Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang. Karnival berkenaan merupakan siri kedua daripada enam lokasi yang telah ditetapkan di seluruh negara.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri komited dalam memperkasakan bidang TVET dan secara keseluruhannya setakat ini sebanyak RM25.9 juta peruntukan telah diluluskan dalam inisiatif untuk menaik taraf institust TVET yang setaraf di peringkat nasional. Menurutnya, kerajaan negeri juga telah bersetuju menubuhkan Majlis TVET Negeri Sembilan yang diterajui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi melonjakkan pencapaian landskap TVET di negeri ini.
“Ini termasuklah memperkukuh jaringan kolaborasi dengan industri, merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja, menyediakan graduan yang menepati keperluan, meningkatkan kualiti institusi TVET dan memperhebat keterlibatan aktif industri".
“Kerajaan Negeri Sembilan akan terus komited untuk memperkasakan institusi tunggal TVET milik kerajaan negeri melalui Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) dan semua institusi TVET yang ada serta Majlis TVET Negeri yang akan ditubuhkan,” katanya.-UTUSAN.
