Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Sasar lebih banyak syarikat tempatan Melaka disenarai di Bursa Malaysia

7 May 2024

BANDARAYA MELAKA 7 Mei – Kerajaan negeri Melaka mahu lebih banyak syarikat tempatan di negeri ini terutamanya industri kecil dan sederhana disenaraikan sebagai syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia pada masa depan.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata setakat ini, hanya 23 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor atau industri di negeri ini yang merupakan syarikat senaraian awam.

“Kerajaan negeri Melaka sentiasa memberi sokongan kepada apa jua bentuk program yang bertujuan meningkatkan lagi peluang perniagaan khususnya untuk anak tempatan serta syarikat yang berdaftar dan bertapak di negeri ini.

“Kita mahu syarikat-syarikat ini berkembang dengan baik dan usaha ini tidak boleh dilakukan tanpa bantuan pihak lain seperti kerajaan negeri dan institusi kewangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Workshop @ Bursa 2024 di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Invest Datuk Ginie Lim Siew Lin.

Khaidhirah berkata kemajuan daripada syarikat itu bukan sahaja memberi impak positif kepada organisasi dan pekerja malah turut memberi manfaat kepada rakyat.

Terdahulu, beliau berkata bengkel itu bertujuan memberi pendedahan kepada syarikat senaraian awam di negeri ini dari aspek peluang pelaburan yang disediakan institusi kewangan bagi mengembangkan perniagaan mereka pada masa depan. – BERNAMA

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara