Majlis Menandatangani MOU Antara JPK Dan Malaysia Airlines Berhad Engineering Services
15 May 2023
25 Mei 2023 – Jabatan Pembangunan Kemahiran hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MAB Engineering) bagi menjalinkan persefahaman mengenai pembangunan sumber manusia mahir dalam Bidang Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Pesawat. Majlis ini telah diadakan di Langkawi bersempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).
Dengan termeterainya memorandum ini, JPK dan MAB Engineering akan bekerjasama dalam perkongsian kepakaran bagi pembangunan standard, bahan pembelajaran serta perkongsian fasiliti latihan. Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam melaksanakan dan mempromosikan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
MoU ini telah ditandatangani oleh Ts. Dr. Mohamad bin Sulaiman, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran mewakili pihak JPK manakala En. Eke Nazri Rahim, Ketua Pegawai Operasi mewakili pihak MAB Engineering.
Majlis turut disaksikan oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, YB Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan dan En. Mohd Nadziruddin Mohd Basri, Ketua Pegawai Eksekutif Aviation Services.
