Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Dasar TVET Negara lakar laluan lebih jelas pasarkan tenaga mahir

6 June 2024

SETIAP kali memandu ke pejabat kebelakangan ini, terpampang megah papan iklan digital di kebanyakan laluan utama di ibu kota mempromosikan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2024 yang diraikan pada 7 dan 8 Jun ini.

Malah, sekurang-kurangnya 10 papan iklan digital mengenai Hari TVET Negara 2024 dilihat penulis dalam perjalanan dari Sentul ke Balai Berita di Bangsar, sekali gus membuktikan betapa pentingnya acara ini dirancang kerajaan demi masa depan rakyat, khususnya anak muda.

Paparan iklan berwarna-warni mempromosi sambutan Hari TVET Negara yang bakal diadakan di di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Banting, Selangor, itu kelihatan amat hidup dan meriah, semestinya turut sama membawa mesej masa depan cerah dijanjikan dalam bidang TVET.

Bermula 2022, kerajaan mengisytiharkan 2 Jun setiap tahun sebagai Hari TVET Negara dalam usaha menghargai peranan dan kejayaan bidang itu ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negara, selain merancakkan janaan pendapatan.

Tanpa menoleh ke belakang, kerajaan dilihat tekad membangunkan tenaga kerja mahir negara melalui TVET yang pernah dipandang sebagai pendidikan kelas kedua di negara ini oleh golongan tidak memahami kepentingan dan sumbangannya selaku antara segmen pendidikan utama.

Melangkah ke hadapan dengan lebih 765,000 pelajar TVET dilahirkan sejak 2018 dan kadar kebolehpasaran graduan TVET bagi 2023 mencecah 94.5 peratus secara keseluruhannya, tanggapan skeptikal itu perlahan-lahan terhakis dengan sendirinya, malah lebih ramai ibu bapa menggalakkan anak mereka menceburi TVET sebagai pilihan lanjutan pendidikan.

Pada era penuh mencabar dan ditambah persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI), kemahiran untuk hidup perlu digarap sebaik mungkin dan peluang itu cerah melalui TVET.

Justeru, sambutan Hari TVET Negara serentak dengan peluncuran Dasar TVET Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabtu ini, adalah tawaran 'terhangat di pasaran' buat anak muda dengan lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui karnival kerjaya dua hari itu.

Permohonan secara langsung menyertai program TVET turut disediakan dan mampu membuka hati serta minda anak muda mencuba sesuatu yang baharu dan menjanjikan masa depan lebih meyakinkan.

Sehingga kini, 1,345 institusi TVET awam dan swasta beroperasi di seluruh negara memberi peluang sama rata kepada anak muda tanpa prejudis.

Sempena Hari TVET Negara 2024, sebanyak 477 program dan aktiviti dilaksanakan pelbagai pihak bermula 8 Mei lalu sehingga Sabtu ini.

Selepas kira-kira lapan bulan, idea pembangunan Dasar TVET Negara dicetuskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semua pihak bertungkus-lumus merealisasikan aspirasi itu pastinya boleh berbangga pada hari bersejarah ini.

Dasar TVET Negara wadah satukan aspirasi

Dokumen Dasar TVET Negara akan berperanan sebagai medium penyatuan aspirasi dan hala tuju pelaksanaan bidang itu merentasi pelbagai pemegang taruh, seterusnya menjadi rujukan dalam memacu institusi TVET menawar serta melaksanakan program berkualiti berdasarkan keperluan industri.

Pembangunan Dasar TVET Negara 2030 membabitkan pelbagai siri Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD), mesyuarat kerja dan bengkel disertai wakil pemegang taruh daripada pelbagai agensi serta organisasi.

Pembangunan Dasar TVET Negara 2030 turut mengambil kira dapatan pelbagai laporan dan kajian pelbagai pihak, sebelum diterjemah menjadi lima teras strategik, iaitu tadbir urus komprehensif dan bersinergi, kualiti dan laluan pendidikan bertaraf dunia, kerjasama industri cekap dan produktif, pembiayaan TVET Mampan serta TVET pilihan utama kerjaya.

Tidak hairan, Ketua Kluster TVET dan Industri Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Ramlee Mustapha menaruh harapan tinggi dalam melihat akses TVET secara inklusif kepada semua atau TVET For All direalisasikan melalui Dasar TVET Negara.

Beliau yang juga Felo Kanan Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berpandangan langkah mengintegrasi konsep Malaysia MADANI merentasi kurikulum TVET berupaya melahirkan lebih ramai graduan teknousahawan berjaya.

"TVET penting dalam membangunkan kemahiran dan pengetahuan relevan dengan kehendak industri. Tema 'TVET Pilihan Utama Kerjaya' menggambarkan TVET sebagai pemacu ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial dengan memfokuskan usaha membuka peluang latihan bidang itu serta menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dan mengurangkan kadar pengangguran.

"Selaras konsep Malaysia MADANI, kualiti TVET perlu dipertingkat agar memenuhi keperluan negara dan rakyat serta industri," tegasnya.

Kesungguhan kerajaan melalui usaha dipimpin Ahmad Zahid dalam memperkasa pendidikan TVET turut diakui Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi.

Mewakili suara anak muda Melayu di Semenanjung, Fazreen berkata, GPMS berharap melalui Dasar TVET Negara, pihak industri lebih bersedia menerima dan melatih tenaga kerja domestik.

"Timbalan Perdana Menteri sering mengetengahkan idea berkaitan TVET dan diterjemah melalui agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah seperti MARA.

"Dasar TVET ini tepat pada masanya, dalam keadaan ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang kecenderungan akademik dan boleh diberi pilihan menerokai bidang TVET," katanya.

Paling utama, Dasar TVET Negara diharap dapat menyediakan pasaran kerja mahir dalam kuantiti besar dan berkualiti untuk menjayakan misi pemodenan dan kemajuan negara.

Semua itu menuntut pendidikan TVET diselaras dan diarusperdanakan supaya hasrat Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam jangka panjang menjadi kenyataan.

GPMS turut menggerakkan inisiatif pengenalan TVET menerusi pelaksanaan program pelbagai peringkat supaya golongan sasar mendapat jaminan kerjaya pada masa depan.

Selari kehendak semasa, program TVET perlu memacu inovasi dengan meningkatkan kreativiti dan penerapan teknologi baharu supaya pelajar dapat mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah dalam dunia pekerjaan sebenar.

Semoga Dasar TVET Negara melakar laluan lebih jelas ke arah lahirnya ramai pekerja berilmu dan berkemahiran yang bakal membawa kedudukan Malaysia ke tahap membanggakan.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara