Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Kebolehpasaran pelatih TVET tinggi, hampir semua dapat kerja

16 June 2023

SEREMBAN: Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) perlu dijadikan pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai generasi muda berkemahiran tinggi. Katanya, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM akan melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang tahun 2025.

"Malah, kerajaan juga berhasrat melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030 sebagai mana digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 "Oleh itu, kita beri ruang dan keyakinan kepada ibu bapa dan pelajar menerokai peluang yang disediakan kerajaan seperti di politeknik, Giat Mara, IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara), ILP dan lain-lain.

"Perlu ditegaskan bahawa kebolehpasaran graduan TVET ini amat tinggi, sebagai contoh 90 peratus graduan ILP mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, jadi peluang ini harus dimanfaatkan ibu bapa dan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival TVET Madani, Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan, di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, di sini, hari ini. Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Mustapha berkata, terdapat pelbagai bidang kemahiran ditawarkan dan disebabkan itu tidak sepatutnya timbul isu ada yang tercicir dalam kalangan pelajar untuk menyambung pengajian.

"Apa yang kita bimbangkan sekarang ialah data menunjukkan ada antara anak-anak tidak mahu duduki SPM dan selepas SPM tidak mahu melanjutkan pengajian.

"Perkara ini jadi perbahasan di Parlimen. Jadi saya minta ibu bapa dapat fikirkan peluang dalam TVET ini dengan menggalakkan anak mengikuti program latihan kemahiran untuk masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan komited dalam memperkasakan bidang TVET dan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25.9 juta bagi menaik taraf Kolej Yayasan Negeri Sembilan sebagai institusi TVET. Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis TVET Negeri Sembilan sebagai penyelarasan di antara pelbagai sektor berkaitan.

"Inisiatif ini akan diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan kita yakin penubuhan majlis ini akan dapat melonjakkan pencapaian landskap TVET di Negeri Sembilan," katanya.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara