Lepasan SPM dinasihati pilih kerjaya yang betul
9 June 2024
KUCHING: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihati agar memilih kerjaya yang betul kerana ia merupakan langkah pertama yang penting bagi masa depan yang berjaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap berkata, dengan pelbagai pilihan kerjaya yang tersedia lepasan SPM boleh keliru dalam membuat pilihan.
Justeru ujarnya, mereka perlu dibimbing dengan betul sebagai persediaan melangkah ke alam kerjaya baharu.
"Persediaan sepatutnya telah dibuat sebelum ini tetapi jangan takut masih belum terlambat jika anda belum memutuskan laluan kerjaya masing-masing," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Belia, Menerokai Kemahiran Kerjaya anjuran SABERKAS Kota Sentosa di sini, hari ini.
Beliau berharap penganjuran seminar itu akan memberi sedikit sebanyak idea kepada peserta mengenai kerjaya yang boleh dipilih selepas SPM.
"Tahniah kepada SABERKAS Kota Sentosa kerana menganjurkan seminar seperti ini kerana ramai lepasan SPM tidak tahu apa jurusan pengajian perlu diambil dan cara memilih kerjaya yang menjanjikan kejayaan pada masa depan," katanya.
Yap berkata Kerajaan Sarawak diketuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan pendidikan tinggi percuma pada 2026, dengan mengutamakan bidang-bidang yang memenuhi keperluan pasaran kerja negeri ini.
Ini bagi memastikan graduan rakyat Sarawak mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi, tambahnya.
"Tuntutan pasaran buruh, terutama ke arah membangunkan ekonomi digital dan hijau bermakna Sarawak memerlukan lebih ramai jurutera dan pakar teknologi maklumat dalam proses mengubah ekonomi kita.
"Sarawak juga memerlukan ramai juruteknik dan tenaga kerja mahir khususnya dalam industri hiliran," katanya.
Justeru beliau menggalakkan belia khususnya lepasan SPM melanjutkan mengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Inggeris dan Matematik (STEM) serta kursus TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
Ini kerana graduan dalam bidang ini mempunyai banyak peluang dalam pasaran pekerjaan apabila tamat pengajian nanti.
Pada majlis itu Yap turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada SABERKAS Kota Sentosa bagi menyokong pertubuhan itu dalam menganjurkan lebih banyak aktiviti membabitkan komuniti, kebajikan dan amal.
