Pensyarah, pelajar KV Bintulu ikuti kursus TVET di China
27 June 2024
BINTULU: Sekumpulan pensyarah dan pelajar Jabatan Teknologi Mekanikal dan Pembuatan Kolej Vokasional (KV) Bintulu menyertai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada 3 hingga 7 Jun lalu di GSK CNC Equipment Co. Ptd, Guangzhou China.
Ketua jabatan terbabit Pui Jak Joon berkata, ia merupakan usaha besar KV Bintulu yang diketuai Timbalan Pengarahnya Khalwani Che Abdul Hamid yang telah mendapat hasil membanggakan dalam program pengantarabangsaan ini.
Katanya, melalui usaha ini syarikat GSK telah menawarkan latihan industri pengaturcaraan dan lengan robotik kepada pensyarah dan pelajar KV Bintulu.
Selaku penyelaras program Pui berkata, program pengantarabangsaan anjuran KV Bintulu turut mendapat kerjasama OMIMAC disertai pensyarah Program Pemesinan Insdustri, Program Teknologi Kimpalan dan Program Teknologi Automotif.
"Kita turut mengadakan mesyuarat bersama pihak pengurusan GSK dan tenaga pengajar Pusat Latihan GSK diketuai Timbalan Pengurus Besar Jabatan Antarabangsa GSK Jackie Chiu," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, KV Bintulu diberi taklimat mengenai maklumat asas berkaitan Kolej Vokasional GSK GuangZhou China yang berjaya melahirkan seramai 2,000 pekerja mahir dan separuh mahir dalam pelbagai bidang teknologi mekanikal dan robot industri pada satu-satu masa.
"Pusat Latihan GSK juga merupakan sebuah pusat pentauliahan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan China," jelasnya.
Menurutnya, kursus-kursus yang ditawarkan di pusat ini adalah berasaskan keperluan semasa industri di negara China antaranya Kursus Pengaturcaraan CNC dan Robot Industri merupakan kursus paling banyak ditawarkan mengikut keperluan industri dan tempoh latihan.
Mengambil contoh katanya, untuk pekerja mahir (peningkatan kemahiran) latihan diberikan selama empat minggu, kursus pendek 12 minggu dan kursus dua tahun untuk pelajar lepasan universiti.
"Tawaran kursus atau latihan juga melibatkan pelajar dalam negara China dan juga luar negara dengan bahasa pengantar adalah bahasa Mandarin," ujarnya.
"Kemudahan yang disediakan adalah bilik kuliah, makmal pengaturcaraan CNC, makmal lukisan Computer-Aided Design (CAD) dan Computer-Aided Manufacturing (CAM), makmal kimpal robot, bengkel CNC larik 4 axis, bengkel CNC kisar 5 axis dan bengkel robot industri," tambahnya.
Pada masa sama kata Pui, lapan peserta Program Pengantarabangsaan KV Bintulu di GSK telah diberi sijil kehadiran penyertaan setelah berjaya menamatkan Kursus CNC dan Robot Industri oleh syarikat GSK.
Hadir sama Chiu, Pengurus Pemasaran GSK Wu Tao, Pengurus Antarabangsa GSK Wang An Long, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Awangku Ali Udin Pengiran Adenani dan Pengurus OMIMAC Zhue Lei yang mewakili GSK Malaysia.