Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Kerajaan sasar 500,000 pengambilan pelajar TVET tahun ini

11 January 2025

BAGAN DATUK - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyasarkan seramai 500,000 pelajar akan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kesemua 1,398 institusi TVET di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, permohonan untuk mengikuti program berkenaan telah dibuka mengikut fasa ditetapkan.

"Dengan kerjasama 1,398 institusi TVET ini, kita jangka sambutan terhadap kursus-kursus yang disediakan ini akan cukup mengalakkan.

"Kursus-kursus ditawarkan adalah yang bersesuaian dengan permintaan daripada majikan, khususnya daripada industri dan memorandum perjanjian telah ditandatangani antara institusi TVET dengan pihak majikan dan industri, ertinya, setelah tamat kursus, lepasan TVET akan terus bekerja dengan majikan-majikan berkenaan,” katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas tinjauan mesra di sekitar Institut Malaysia-China (MCI) GiatMara di sini yang turut disertai Pengerusi GiatMara, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebanyak 5,125 tempat yang ditawarkan oleh MCI untuk pelajar Malaysia mengikuti latihan dalam bidang TVET akan dipenuhkan tahun ini.

"Syarikat China memberikan biasiswa sepenuhnya sepanjang pelajar-pelajar Malaysia berada di sana (China), tetapi mereka minta untuk tiket penerbangan dibiayai oleh organisasi di Malaysia.

"Pihak Mara umpamanya menaja pelajar-pelajar GiatMara...saya juga telah menawarkan pada negeri-negeri lain dan insya-ALLAH tajaan tiket ini akan dikendalikan oleh pihak-pihak berkenaan yang telah saya tawarkan tempat itu kepada mereka," katanya.

Pada 30 Mei tahun lepas, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sebanyak 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi 'game changer' atau pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia.

Mengulas mengenai MCI-GiatMara di sini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ia menjadi pusat persediaan pelajar untuk ke China dan turut diajar asas bahasa Mandarin bagi memudahkan mereka mengikuti kursus di republik itu. - Bernama

------------------------------------------------------------------------------------

Gambar: Ahmad Zahid melihat bateri kenderaan elektrik ketika melawat bengkel latihan pada sesi tinjauan mesra Malaysia China Institute (MCI) di GiatMara Bagan Datuk pada Sabtu. Foto Bernama

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara