Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Perak tekad jadi Koridor TVET Negara

23 January 2025

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak memacu usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai komponen utama dalam agenda pembangunan negeri menjelang 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu selari dengan kemunculan Revolusi 5.0 yang bakal menempatkan sumber tenaga manusia kembali di tengah-tengah perubahan.

Menurutnya, menerusi TVET, ia bukan sekadar mencipta pekerja mahir, sebaliknya wahana melahirkan inovator, pemimpin dan usahawan yang menjadi pemacu perubahan teknologi dan ekonomi.

“Atas kepercayaan itulah, kerajaan Perak bertekad menjadikan negeri ini sebagai Koridor TVET Negara. "Dengan ekosistem pendidikan teknikal yang menyeluruh, Perak sedang melangkah ke hadapan untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan TVET, bukan hanya untuk keperluan tempatan, tetapi juga rujukan nasional," katanya ketika berucap dalam Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2025 di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Khamis.

Saarani berkata, beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP), kini menjadi platform penting untuk graduan TVET mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka.

Katanya, bagi menyokong agenda itu, kerajaan negeri akan melaksanakan Program Jelajah TVET 2025, bertujuan memberi kesedaran kepada generasi muda bahawa TVET bukanlah pilihan kelas kedua, tetapi laluan utama untuk masa depan yang cerah.

"Kita mahu membuang stigma bahawa TVET tidak setanding dengan aliran akademik. Sebaliknya jambatan yang menghubungkan tenaga kerja mahir dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Selain TVET, fokus kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada usaha membudayakan teknologi dan inovasi dalam pelbagai sektor.

Saarani berkata, Transformasi Digital Negeri Perak yang dirancang telah mempercepatkan akses teknologi kepada rakyat dengan liputan internet mudah alih kini mencapai 99.6 peratus dan lebih 700,000 premis dilengkapi gentian optik.

“Teknologi bukan sekadar alat, tetapi pemacu perubahan. Kita mahu teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar.

“Perak harus dikenali sebagai negeri yang bukan sahaja indah, tetapi juga maju dari segi inovasi dan kecanggihan teknologinya,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan selain turut menggalakkan usahawan tempatan untuk memanfaatkan peluang ekonomi digital.

----------------------------------------------------------------------

Gambar: Saarani ketika berucap dalam Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2025 di Hotel Casuarina@Meru pada Khamis.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara