Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

UP_TVET dibangunkan bagi permohonan TVET seluruh negara

8 April 2025

KUALA LUMPUR: Sistem UP_TVET iaitu platform 'single window' (jendela tunggal) sudah dibangunkan bagi permohonan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia dibangunkan bagi penawaran TVET di institusi awam dan swasta di seluruh negara.

"UP_TVET Perdana pula bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai depan yang akan dibuka untuk permohonan mulai 14 April hingga 15 Jun ini.

"Ia memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta individu berminat untuk meneroka bidang kemahiran relevan dengan keperluan industri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat MTVET Bil.1/2025 di Dewan Persidangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beberapa kertas pemakluman turut dibentangkan pada mesyuarat terbabit, termasuk inisiatif pembangunan teknousahawan TVET turut dibentangkan pada mesyuarat sama.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, mesyuarat sama turut dimaklumkan mengenai status pelaksanaan Data Raya TVET, pelaksanaan penarafan tunggal program TVET dan dapatan penilaian akreditasi Program Diploma Vokasional Malaysia.

"Semua inisiatif itu adalah langkah proaktif Kerajaan Perpaduan bagi memperkukuh ekosistem TVET negara.

"Mesyuarat ini turut membincangkan pelbagai agenda strategik ke arah memperkukuh landskap TVET negara, termasuk isu ketersediaan bakat tempatan yang kini menjadi cabaran utama dalam memenuhi keperluan sektor pelaburan dan industri berteknologi tinggi," katanya.

Mengenai sambutan Hari TVET Negara 2025, Ahmad Zahid berkata, ia akan diadakan di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka pada 11 hingga 13 Jun depan.

Sambutan itu, katanya, bakal menghimpunkan penyertaan menyeluruh semua kementerian dan agensi berkaitan TVET serta pemain industri, sekali gus mencerminkan sinergi dan kebersamaan dalam merealisasikan agenda pemerkasaan TVET secara menyeluruh.

"Sempena sambutan Hari TVET Negara 2025, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini akan turut menganjurkan ASEAN TVET Council (ATC) Regional Policy Dialogue pada 11 hingga 13 Jun 2025 di Kuala Lumpur.

"Penganjuran dialog serantau ini adalah manifestasi komitmen Malaysia dalam memacu kerjasama

serantau ke arah pembangunan modal insan berkemahiran serta memperkukuh jaringan antara negara anggota ASEAN dalam bidang TVET," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, agenda pembangunan bakat berkemahiran melalui TVET adalah tanggungjawab bersama.

"Sehubungan itu, TVET perlu memainkan peranan lebih signifikan dalam membekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selaras keperluan pasaran kerja dan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Kerjasama bersepadu antara semua pihak termasuk kementerian, agensi, industri dan masyarakat adalah amat penting bagi memastikan TVET kekal relevan dan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara