Permohonan UP_TVET Perdana Julai 2025 dibuka mulai 14 April
24 March 2025
SHAH ALAM - Permohonan bagi portal Unit Pengambilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (UP_TVET) Perdana ambilan Julai 2025 akan dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembukaan itu bertujuan memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu yang berminat untuk meneroka bidang kemahiran yang relevan dengan industri.
Ujar beliau, semua lapisan masyarakat diminta agar memanfaatkan peluang berkenaan dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.
“TVET bukan sahaja membuka laluan pekerjaan yang luas tetapi juga membentuk tenaga kerja lebih berdaya saing dalam pasaran global.
“Sejak tahun 2023, kerajaan telah memperkenalkan satu saluran tunggal menerusi portal UP_TVET bagi menyelaraskan permohonan kemasukan ke semua institusi TVET yang lebih fleksibel, mengikut keperluan dan minat individu.
“UP_TVET Perdana melibatkan institusi TVET awam sahaja yang mana menawarkan program TVET sepenuh masa di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
“Permohonan dibuka dua kali setahun bagi pengambilan Januari dan Julai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, kategori UP_TVET Flexi pula melibatkan institusi TVET awam dan swasta yang mana menyediakan kursus jangka panjang dan pendek yang lebih fleksibel.
“Terbuka kepada semua individu yang ingin meningkatkan kemahiran
atau menukar bidang kerjaya.
“Permohonan dibuka sepanjang tahun bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar dan tenaga kerja,” ujarnya.
Menurut Ahmad Zahid, graduan TVET pada masa kini mendapat akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas, malah berpeluang menyumbang kepada inovasi dan kemajuan negara.
Jelasnya, terdapat 1,398 institusi TVET, terdiri daripada awam (673), swasta (697) dan institusi di bawah kerajaan negeri (28).
“Ekosistem TVET yang luas dan dinamik ini menawarkan program kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri serta perkembangan ekonomi semasa.
“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya sentiasa mendukung aspirasi kerajaan untuk terus memperkasa TVET sebagai salah satu akses pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam ekonomi global
"Untuk maklumat lanjut dan permohonan, sila layari https://mohon.tvet.gov.my,” menurutnya.
-Tamat-
