Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Perkukuh agenda TVET

23 June 2025

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi penganjuran Hari Terbuka UMPSA 2025, sempena Sambutan Hari TVET Negara di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang, Pahang, baru-baru ini.

Program itu dirangka bukan sekadar untuk menyemarakkan Hari TVET Negara tetapi menjadi platform inklusif yang menghubungkan pelajar, komuniti, industri dan pembuat dasar dalam ekosistem pendidikan tinggi yang holistik.

Berlangsung selama dua hari, majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak.

Turut hadir, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohd Nizar Mohamad Najib; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir. Megat Jalaludin Megat Hassan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr Aida Mustapha dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Ir. Dr Ahmad Ziad Sulaiman.

Mohd Soffi berkata, kerajaan negeri komited dalam memperkasa TVET sebagai pemacu pembangunan masa hadapan negeri dan negara.

"TVET adalah platform pembangunan modal insan yang bersifat masa hadapan dan berkait rapat dengan industri.

"Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melalui pelbagai inisiatif seperti penubuhan Akademi Rel Pahang dan pemberian biasiswa TVET untuk anak-anak negeri," katanya.

Beliau juga berbangga dengan usaha UMPSA yang dilihat terus berada di barisan hadapan dalam memperkenalkan TVET bertaraf antarabangsa termasuk program mobiliti pelajar, kerjasama akademik dengan industri dan pembangunan kampus pintar.

"Tahniah kepada UMPSA atas kerjasama strategik dengan industri dan institusi global seperti Beijing Jiaotong University (BJTU)," katanya.

Pada masa sama, UMPSA turut menganjurkan Program International Young Future Leaders (iFUTURE'25 @UMPSA) sebagai salah satu acara utama Hari TVET Negara.

Program yang diilhamkan Kementerian Pendidikan Tinggi itu adalah satu platform strategik nasional sebagai medan terbaik untuk memperkasa kepimpinan mahasiswa berjiwa Malaysia.

Dr Yatimah berkata, program itu membuka ruang untuk generasi pelapis negara memahami dan membincangkan isu-isu nasional serta global melalui wacana, dialog dan sesi libat urus bersama pemimpin.

"Penganjuran iFUTURE kali ini berlangsung dengan tiga siri yang memberi fokus kepada Pemerkasaan Wanita, Agenda TVET dan Dialog Mahasiswa ASEAN.

"Menariknya, forum ini menghimpunkan pelajar dari pelbagai universiti luar negara termasuk Universitas Indonesia, Vietnam University of Ho Chi Minh, University of Southeastern Philippines, Svay Rieng University dari Kemboja dan Nanyang Technological University dari Singapura," katanya.

Sesi forum berprestij itu dikendalikan Profesor Madya Ir. Dr Nurul Hazlina Noordin selaku moderator bersama panel jemputan utama antaranya Datuk Ir. Megat Jalaludin dan Datuk Mohd Nizar.

Hari Terbuka UMPSA turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMPSA dan beberapa organisasi termasuk Lembaga Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PERDA), Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dan E-Access International College sebagai usaha memperkasa pendidikan TVET.

Antara tarikan utama lain sepanjang dua hari penganjuran termasuk Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2025 yang mempamerkan 283 produk penyelidikan dan inovasi daripada UMPSA, institusi pengajian tinggi, sekolah dan pemain industri.

Festival Kerjaya UMPSA dengan menawarkan lebih 250 peluang kerjaya dan latihan industri dengan penyertaan lebih 20 syarikat dari pelbagai sektor.

Menerusi penganjuran skala besar ini, UMPSA bukan sahaja mengangkat martabat pendidikan TVET tetapi turut membentuk pelajar menjadi pemimpin masa depan yang berwawasan, berdaya saing dan berjiwa Malaysia.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara