GiatMARA Padang Rengas ambil pekerja gig, p-hailing sertai TVET kimpalan
7 July 2025
PADANG RENGAS: Institusi latihan dan kemahiran GiatMARA Padang Rengas, di sini menjadi satu daripada tiga institusi itu di Perak yang akan memulakan program rintis kursus program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) khusus kepada pekerja gig dalam waktu terdekat.
Pengurus GiatMARA Padang Rengas, Mohd Jamil Abdul Wahab, berkata kursus Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam mod separuh masa ditawarkan secara percuma kepada pekerja gig yang terbabit dalam industri e-hailing dan p-hailing seperti penghantar makanan dan barangan.
Katanya, bagi pengambilan pertama pada bulan ini, lima peserta daripada kumpulan pekerja gig itu sudah mendaftarkan diri.
Menurutnya, modul Fabrikasi Logam disatukan bersama mod keusahawanan bagi memastikan peserta kursus dapat meneruskan kelangsungan hidup tanpa meninggalkan kerjaya sekarang.
"Difahamkan golongan pekerja gig ini sukar meninggalkan industri gig dan beralih uke industri berkaitan kimpalan. Justeru, di GiatMARA sekurang-kurangnya ada modul agar pelatih boleh menjadi usahawan dengan latihan anjal dari segi masa.
"Berbekalkan kemahiran tambahan diajarkan, selepas mengikuti kursus berkenaan, mereka mampu membuat pelbagai perkakasan berasaskan besi seperti tangga, rak kasut, ampaian dan sebagainya.
"Peserta tidak perlu tinggalkan terus dunia pekerjaan ekonomi gig sebaliknya, ia memastikan mereka dapat terus bertahan terutamanya apabila sudah kurang berdaya atau boleh melakukan dua atau lebih kerja dalam satu masa, sekali gus menambah sumber pendapatan," katanya kepada BH.
Menurutnya, di Perak kini terdapat 24 institusi GiatMARA. Katanya, selain GiatMARA Padang Rengas yang menawarkan kouta sebanyak 30 peserta bagi pengambilan pertama, GiatMARA Ipoh Barat dan GiatMARA Teluk Intan turut bakal memulakan pengambilan pertama model TVET untuk pekerja gig.
Giat buat hebahan
GiatMARA Ipoh Barat menawarkan kursus pemasangan dan konfigurasi kamera litar tertutup (CCTV) manakala GiatMARA Teluk Intan menawarkan kursus rombak rawat enjin motosikal 2 lejang dan 4 lejang. Peserta turut ditawarkan elaun bagi mengikuti latihan secara percuma itu.
"Sekarang kami giat membuat hebahan untuk menarik peserta yang berminat daripada kalangan pekerja gig. Saya akan berjumpa dengan Pengerusi Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak untuk mencari profil lebih banyak pekerja gig dan menawarkan kursus berkenaan kepada yang berminat," katanya.
Katanya, lepasan GiatMARA Padang Rengas juga mempamerkan kejayaan antaranya yang terbaharu apabila seorang pelatih lepasannya kini bergelar jurukimpal paip gas di Geoquip Marine, Switzerland.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Disember tahun lalu mengumumkan badan berkanun itu melalui GiatMARA akan memulakan program TVET kepada pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan, dalam usaha menambah nilai kemahiran mereka.
Koridor TVET Malaysia diletakkan sebagai fla gship atau andalan kepada pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saaarani Mohamad yang meletakkan TVET akan dijadikan pemacu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berpotensi menembusi pasaran pekerjaan dan memenuhi permintaan industri.
Gambar: Perbincangan antara GiatMARA bersama Persatuan Penghantar Malaysia.
