UMPSA, Jabatan Penjara Malaysia perkukuh jalinan pemerkasaan agenda TVET
7 July 2025
PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) memperkukuh hubungan kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan pemerkasaan agenda TVET.
Naib Canselor UMPSA,Prof Dr Yatimah Alias berkata program kerjasama antara UMPSA dan Jabatan Penjara Malaysia dilaksanakan dengan memberikan latihan teknikal teknologi Biofeedback kepada pegawai-pegawai di Penjara Malaysia dalam membantu program koreksional (pembetulan) dengan banduan.
”Penggunaan alat Biofeedback adalah sebagai salah satu mekanisme untuk mengenal pasti tahap kepulihan banduan dilaksanakan sejak tahun 2018 di bawah bimbingan Profesor Ts. Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab dari Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMPSA.
“Kerjasama ini juga memberi peluang kedua-dua pihak meneroka lebih banyak peluang berkongsi kepakaran antaranya pembangunan sumber manusia melalui penganjuran seminar, bengkel, kuliah, dan penerbitan yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya kolaborasi tersebut memberi banyak peluang pembangunan dan penyediaan program akademik serta aktiviti peningkatan keupayaan melibatkan penyelidikan yang berkaitan serta pembangunan kepada kakitangan.
Katanya UMPSA kini sedang merangka cadangan membentuk Kor Siswa SISWI Koreksional (SISKOR) dalam kalangan pelajar UMPSA, pembangunan Sistem Profail Prospek, pembangunan alat Biofencing untuk kegunaan banduan parol atau tahanan rumah dan pembangunan Modul Kepulihan Banduan untuk tahanan rumah.
Inisiatif itu sekali gus komitmen berterusan UMPSA dan Jabatan Penjara Malaysia dalam mencari pendekatan inovatif untuk meningkatkan keberkesanan pemulihan banduan, demi kebaikan negara dan masyarakat. – MalaysiaGazette
Gambar: Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (Keselamatan & Koreksional), Datuk Ibrisam Abdul Rahman dan Naib Canselor UMPSA , Prof Dr Yatimah Alias bertukar dokumen MoU disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar bin Haji Nasarah di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM), Kajang, baru-baru ini.
