Kerajaan sasar 35% pekerja kemahiran tinggi menjelang 2030
26 June 2023
SHAH ALAM, 26 Jun- Lebih ramai tenaga pengajar berkemahiran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diharap dapat dilahirkan di negara ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata ia selari hasrat kerajaan yang meletakan sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030.
Sasaran ini diharap menyumbang kepada penurunan kebergantungan negara terhadap pekerja asing tidak terlatih, sekali gus melahirkan modal insan berkemahiran yang berpengetahuan, responsif serta berdaya saing.
"Kita mahu menjadi negara yang 35 peratus pekerja mahir menjelang 2030 dan untuk menjadi lebih maju, ia harus lebih 50 peratus.
"Lebih 50 peratus pekerja adalah pekerja mahir di negara maju," katanya selepas Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) 2023.
